Sebuah rakaman klip video menunjukkan seorang lelaki diarah membuat pusingan U dalam satu sekatan jalan raya kerana gagal menunjukkan bukti alamat kediaman, tular di media sosial sejak semalam.
Individu itu dispekulasi sebagai Fikry Ibrahim berdasarkan suara dan nombor plat kenderaannya meskipun tiada gambaran jelas gerangan sebenar individu yang dimaksudkan pengguna media sosial dalam video berkenaan.
Ia disebabkan wajah individu terbabit dilindungi topeng penutup mulut dan hidung yang dipakai sewaktu dia memberhentikan kenderaannya dalam kejadian berlaku di sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Gara-gara video berkenaan, semakan Malaysiakini mendapati akaun Insragram Fikry dibanjiri soalan pengguna media sosial yang mahukan kepastian berhubung kejadian tersebut.
“Fikry ni la kot kena marah dengan polis sebab keluar tak bawa dokumen,” kata pengguna akaun @queaizuddin.
Pada 1 April lalu, sebuah portal berita melalui siaran langsung di Facebook melaporkan berhubung sekatan jalan raya diadakan di sekitar kawasan Menara Surian.
Rakaman menunjukkan polis meminta individu terbabit menyerahkan bukti dokumen sama ada bil api, air atau alamat tempat tinggalnya sebagai prosedur bertujuan mengelak orang ramai menipu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Individu terbabit mendakwa dia baru pulang dari membeli barang keperluan di pasaraya NSK dan menuju ke kawasan kediamannya di Damansara Perdana.
Bagaimanapun, individu itu yang mempunyai alamat bertulis di Jitra, Kedah dalam MyKadnya gagal menyerahkan bahan bukti bagi menunjukkan dia menetap di kawasan yang dinyatakan.
“Alamat Jitra, bil air tak bawak bang. Saya tengok televisyen tapi tak tahu kena bawa dokumen,” katanya.
Malah ada juga dalam kalangan netizen yang beranggapan sebagai seseorang yang sentiasa diperhatikan gerak-gerinya, Fikry seharusnya lebih peka mengenai perkembangan situasi semasa sewaktu PKP.
“Bil mana? Public figure,” kata pengguna akaun @affan_sr.
“Jangan kau fikir kau artis semua nak langgar arahan kerajaan,” kata seorang lagi pengguna akaun @hadizain8.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons pelakon drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu berhubung perkara berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.