Polis antaranya rampas kereta, barang kemas bernilai RM80,000
KULAI
– Polis berjaya menumpaskan kumpulan etnik Rohingya yang melakukan
pecah rumah sekitar daerah ini sejak tahun lalu selepas menahan tiga
suspek dalam serbuan berasingan di inap desa dan dua buah rumah di sini
semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan
Tok Beng Yeow berkata, menerusi serbuan pada jam 8 malam kelmarin hingga
3 pagi semalam, polis menahan tiga lelaki etnik Rohingya berumur 20
hingga 32 tahun bersama-sama dua kanak-kanak perempuan berusia 8 dan 9
tahun.
“Mereka terlibat dengan beberapa kes
pecah rumah dan kes terbaharu di Indahpura di sini pada 26 April lalu
dan mangsa berusia 40-an membuat laporan polis jam 6.30 petang pada hari
yang sama.
“Menerusi serbuan itu pihak polis
merampas antaranya dua buah kereta, peralatan pecah rumah, wang tunai
pelbagai negara, buku bank, pasport, barang kemas dan dua komputer riba
yang semuanya bernilai lebih RM80,000,” katanya seperti dipetik Sinar
Harian.
Menurutnya, modus operandi mereka adalah
dengan memecah masuk rumah melalui pintu depan dan tingkap rumah mangsa
dengan menggunakan pemutar skru sebelum menyelinap masuk pada waktu
siang dan malam.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan
dua dalang utama kumpulan itu yang dikenali sebagai Abdullah, 32, dan
Norjan, 20, yang masih bebas manakala dua kanak-kanak itu sudah
dibebaskan kerana tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.
“Kanak-kanak tersebut merupakan anak tiri
kepada salah seorang suspek yang ditangkap. Siasatan mendapati mereka
sudah melakukan 10 kes pecah rumah di kawasan Indahpura, Bandar Putera,
Saleng dan Senai sejak November tahun lalu hingga kini,” katanya.
Beng Yeow berkata, ada di antara suspek
berkenaan memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian
(UNHCR) sementara yang lain tidak memiliki sebarang dokumen.
“Polis juga masih menyiasat semua suspek yang tidak memiliki pekerjaan itu sudah berapa lama tinggal di negara ini,” katanya.
Katanya, tiga suspek tersebut direman
selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457
Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14
tahun atau denda atau sebatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.