Lebih selamat untuk pantau keadaan keseluruhan kediaman penduduk
KUALA LUMPUR –
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengerakkan unit dron pasukan itu
bagi menjalankan pemantauan di tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat,
Selangor yang dikenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid
Bador berkata, penggunaan dron lebih selamat untuk memantau keadaan
keseluruhan kediaman penduduk yang terlibat.
“Ini (penggunaan dron) adalah paling
selamat dan kami telah pun terbangkan dron ke sana untuk melihat muka
bumi dari atas supaya anggota dapat memahami taburan penduduk di kawasan
itu.
“Data ini juga dapat membantu pihak
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada
pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Batu 21
Sungai Lui, hari ini.
Jelasnya lagi, penggunaan dron juga
dijalankan di dua lokasi di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang lebih
awal dikenakan PKPD iaitu bermula tengah malam 27 Mac.
Abdul Hamid berkata, kira-kira 50 anggota
polis ditugaskan menjalankan kawalan di dua lokasi sekatan jalan raya
di Jalan Sungai Lui iaitu di Batu 21 dan Batu 24 yang menghala keluar ke
Semenyih dan Jelebu, Negeri Sembilan.
“Setakat ini persediaan anggota kami di
sini berada di tahap yang terbaik. Sebuah dewan serba guna berhampiran
akan kita gunakan sebagai pusat menyimpan bekalan makanan dan bilik
gerakan PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan
PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui berkuat kuasa tengah
malam tadi sehingga 13 April, melibatkan 3,918 penduduk merangkumi 700
rumah daripada tujuh kampung. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.