Selasa, 31 Mac 2020

Covid-19: Pakar anggap langkah disinfeksi jalan sebagai membazir

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Beberapa pakar perubatan menyifatkan tindakan nyahjangkitan di permukaan jalan tidak berkesan untuk menghapuskan koronavirus, malah ia hanyalah pembaziran sumber yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih mendesak.

Anggota Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor Dr Christopher Lee, berkata proses itu yang dijalakan di Petaling Jaya hari ini tidak akan mencapai tujuannya, iaitu mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

"Langkah nyahjangkitan di jalan jelas tidak akan memberi impak. Pembaziran sumber dan masa kerja.

"Langkah membersihkan permukaan yang sering disentuh akan memberi lebih kesan. Marilah (bertindak) berdasarkan bukti," katanya yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, di Twitter.

Beliau kini turut mengetuai National Covid-19 Mortality Review Committee yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan audit terhadap kes kematian pesakit Covid-19 di hospital.

Beliau mengulas laporan New Straits Times yang memetik beberapa pakar kesihatan yang membangkitkan kerisauan sama, berhubung keberkesanan tindakan disinfeksi di kawasan awam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menterinya Zuraida Kamaruddin, di pasar Jalan Othman, Petaling Jaya pagi tadi.

New Straits Times memetik bekas timbalan ketua pengarah Kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman yang mempersoalkan proses itu, yang antara lain melibatkan penyemburan cecair penyahjangkit secara terus ke permukaan jalan.

"Apa yang mereka lakukan? Siapa yang menasihati mereka? (Ia) benar-benar pembaziran wang. Bagaimana jalan dan susur jalan tercemar (dengan virus)?

Apabila ramai orang yang dijangkiti batuk ke arahnya?

"Kalau pun permukaan jalan tercemar, bagaimana ia (virus) boleh sampai ke muka anda? Apabila orang menggosok tangan di jalan dan kemudian menyentuh muka mereka?" soalnya seperti dipetik.

"Atas bukti atau dasar apa mereka melakukannya? Ya, mereka mungkin kata ikut prosedur operasi standard (SOP), tetapi siapa yang sediakan SOP dan menyokongnya?

"Dan tengok orang ramai (yang memerhati operasi itu)? Tindakan publisiti ini sudah pun mendedahkan ramai orang kepada risiko," katanya lagi.

Menurut laporan itu lagi, Lokman berkata pihak berkuasa sepatutnya melakukan nyahjangkitan di tempat yang sering disentuh, seperti tombol pintu, butang di lif, dan selusur eskalator untuk membendung penularan Covid-19.

Laporan itu juga memetik pakar virologi Lam Sai Kit ebagai berkata, jalan raya tidak tercemar atau menjadi punca jangkitan Covid-19.

"Anggota patut dilatih untuk membuat nyahjangkitan di mana (virus) mungkin berada dan menjadi sumber jangkitan. Bukan jalan.

"Daripada gambar (yang menunjukkan anggota menyembur jalan), nampaknya mereka sedang membasuh jalan," katanya seperti dipetik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.