Waktu
operasi pasar awam yang terbatas dan sekatan trafik di jalan raya
sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) didakwa telah menimbulkan
kesan rantaian negatif terhadap bekalan sayur dan makanan mentah di
pasaran.
Pasar Borong Kuala Lumpur antaranya pasar yang terkesan sekali.
Menurut Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt, anggaran 50 peratus gerai sayur akan tutup setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah bahawa hanya dua pekerja asing dibenarkan sewaktu pasar beroperasi.
Kata Wong, pasar tersebut mempunyai sebanyak 448 gerai dan merupakan pusat pengedaran sayur utama di ibu kota.
Seramai lebih kurang 5000 orang akan bekerja di pasar borong itu pada hari biasa dan kini hanya tidak sampai 1000 orang setelah sekatan dilakukan oleh pihak berkuasa, kata Wong kepada Malaysiakini.
'Nyawa lagi penting dari niaga'
“Ramai ahli saya yang mengadu, dulu satu gerai tujuh lapan orang kerja, sekarang hanya benar dua orang, susah. Tidak cukup orang untuk angkat sayur dari lori,” katanya.
Di bawah PKP, Wong berkata lebih kurang 40 peratus pasar di Kuala Lumpur sudah tutup namun bekalan sayur masih mencukupi sehingga menyebabkan bekalan terlalu banyak dan hampir 30 peratus sayur dibuang setiap hari di pasar borong.
Namun pasar borong tetap akan beroperasi walaupun peniaga menghadapi kerugian yang besar kerana ini adalah tanggungjawab sosial persatuan beliau, tegas Wong.
“Tidak dapat niaga perkara kecil, nyawa manusia paling penting. Sekarang wabak Covid-19 begitu serius, kami mesti bekerjasama dengan kerajaan dan duduk di rumah semana yang boleh.
“Bagaimanapun, disebabkan banyak peraturan dan syarat dikenakan, ramai tidak dapat sesuaikan diri maka adalah yang mengadu sikit. Tapi semua boleh faham, ini kan kebaikan untuk semua,” ulas Wong.
Tempoh beroperasi pula bermula dari jam 10 pagi hingga 7 malam, dan dari 12 tengah malam hingga 7 pagi. Operasi di luar waktu adalah dilarang sama sekali.
Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Pertanian Cameron Highlands Chai Yee Meng memberitahu bahawa isu buang sayur hanya satu permulaan dan ramai yang risau keadaan akan bertambah teruk.
“Isu ini belum menyeluruh lagi... kerana sekatan pergerakan itu menjadikan permintaan sayur kurang, sebab orang sudah kurang keluar rumah.
“Lori nak hantar barang pun susah... bawa satu orang dengan barang banyak, lepas itu ada sekatan jalan raya lagi, susah,” tambahnya.
"Tapi isu itu sudah settle DBKL kata, jadi okay la tiada masalah lain. Cuma takut nanti makin hari makin susah,” keluhnya.
Walau bagaimanapun, seorang penghantar sayur di Cameron Highlands yang enggan dinamakan mengadu beratus-ratus tan sayur terpaksa dibuang disebabkan gerai pasar tutup.
Katanya, lebih 100 lori membawa sayur ke pasar borong Kuala Lumpur setiap hari dan lebih 10 tan sayur yang dibawa oleh setiap lori.
Disebabkan banyak pasar sudah tutup, penghantar sayur itu berkata perkhidmatan lori juga terpaksa dihentikan.
Ini, jelasnya menyebabkan beratus-ratus tan sayur ditinggalkan dan dibuang di Cameron Highlands.
“Kami pernah berfikir untuk bagi sayur secara percuma, tapi hal ini akan menyebabkan orang ramai datang berebut-rebut berkerumun dan berhimpun beramai-ramai, maka kami terpaksa buang sayur begitu sahaja.
“Sayur itu barang mentah, tidak tahan lama punya. Simpan pun tak guna," katanya lagi.
Banyak video turut tular di media sosial yang mengadu bahawa kekurangan pekerja untuk memunggah sayur dari lori.
Bagaimanapun, sekatan jalan raya dan pelbagai soalan yang diajukan petugas keselamatan, menyebabkan ramai pemandu lori berasa cemas dan gelisah.
“Kebanyakan masa mereka ditahan oleh polis dan banyak soalan ditanya.
Kemudian nak kami tunjukkan permit dan surat syarikat, akhir masih bagi jalan juga.
“Cuma masalah hari ini berlaku di pasar borong. Lori sudah sampai tapi tidak bagi masuk.
“Semuanya masalah teknikal lah. Harap DBKL dan polis boleh selesai dengan lebih baik sikit. Kami pun faham usaha yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.
Petani Cameron Highlands, Ng Tien Khuan pula memberitahu bahawa sudah ada gerai sayur di pasar borong yang memesan supaya jangan hantar sayur setakat ini.
Bekalan ke pasar borong berkurang
Menurutnya, bekalan kepada pasaraya masih berterusan tetapi permintaan sayur berkurang mendadak bagi pengusaha pasar awam.
“Bagaimanapun, bekalan sayur di pasar borong berkurang, akan menyebabkan bekalan kepada pasar kecil pun kurang dan akhirnya pembeli-pembeli menghadapi masalah untuk mendapatkan sayur,” tambahnya.
Sementara itu, Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong (gambar, bawah) mengesyorkan agensi pertanian untuk mengumpul hasil pertanian yang berlebihan di Cameron Highlands.
Wakil rakyat DAP itu turut memberikan dua cadangan kepada kerajaan berkata, "memandangkan hasil pertanian adalah bekalan makanan yang boleh digunakan sepenuhnya untuk kebaikan masyarakat."
"Pertama, agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di setiap kawasan pertanian untuk mengangkat dan mengumpul hasil pertanian yang berlebihan dan tidak dapat dijual di pasaran.
"Kedua, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh menyelaraskan agensi-agensi kerajaan bagi mengedarkan hasil pertanian yang dikumpul kepada golongan yang memerlukan.
"Saya dengan ikhlasnya berharap agar pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) akan memberi pertimbangan terhadap cadangan di atas,” kata Chiong.
Awal pagi ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, polis akan memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengehadkan waktu operasi Pasar Borong Kuala Lumpur bagi mengawal jarak dan pergerakan orang ramai.
Menurut beliau, cadangan itu merupakan satu daripada usaha-usaha untuk merendahkan potensi jangkitan wabak Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.