Rabu, 1 Januari 2020

Wawasan 2020 - Akhir sebuah impian

WAN HAMIDI HAMID
 
 
 
ULASAN | Ketika Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 pada 1991, saya sebagai seorang wartawan yang makan gaji dengan sebuah akhbar prokerajaan BN memandangnya dengan sinis.

Bukan kerana saya berasa diri hebat atau berilmu tinggi, cuma memang pesisme saya tidak pernah yakin dengan idealisme Umno-BN. Apatah lagi apabila ia mahu melahirkan satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Saya pesimis dengan wawasan itu kerana tidak yakin ia mampu mengubah struktur negara. Wawasan 2020 lahir selepas tamatnya tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1990.

Maksudnya DEB yang dijelmakan sebagai hak Melayu (walaupun matlamatnya adalah untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan) secara tiba-tiba mahu ditinggalkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang rakyatnya (mungkin) setara dan berpeluang saksama.

Namun, dalam pesisisme itu, saya turut meraih nikmat pertumbuhan ekonomi dekad 1990-an.
 Memang malu juga mahu mengakuinya, tetapi itulah hakikatnya.

Secara peribadi, perkembangan ekonomi dan kekuatan ringgit  membolehkan saya berbelanja mewah membeli buku dan majalah luar negara, serta barangan import lain dengan harga mampu milik.

Pada masa itu nilai AS$1 bersamaan RM2.5 manakala £1 setara RM3.8 dan S$1 bersamaan RM1.5 – walaupun gaji zaman itu tidaklah sebesar mana pun.

Jadi contoh negara membangun

Kini, melihat kembali wawasan Dr Mahathir itu, semuanya hanya tinggal impian. Sama ada saya betul atau tidak (kerana pesimisme diri), yang jelas kita bukan sahaja gagal mencapai matlamat wawasan tersebut, malah kita semakin berundur ke arah curiga antara satu sama lain, benci sesama sendiri, dan semakin tidak bermoral dalam aspek rasuah, korupsi dan salah guna kuasa.

Matlamat dan cabaran Wawasan 2020 semakin jauh kita tinggalkan. Sama ada kita cipta wawasan lain untuk tahun 2030, 2040 atau 2050, ia sudah tidak memberi banyak makna lagi kerana matlamat asas Bangsa Malaysia sudah kita bakul sampahkan.

Antara matlamat utama Wawasan 2020 yang jauh ditinggalkan itu ialah cita-cita murni menjadikan Malaysia sebagai “sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara”.

Juga tiada lagi impian untuk mewujudkan “masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun”.

Apa lagi harapan untuk melahirkan sebuah “masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara”.

Sudah tiada lagi.

Malah, dari sudut ekonomi, tiada lagi impian untuk “memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi... yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi” dan “masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental”.

Kita sekarang seperti kehilangan arah. Kita mudah tergoda dengan imej-imej agama dan kaum daripada pengisian serta maknanya. Kita berbalah dan bertegang leher, malah sanggup mencabar ke arah keganasan atas jenama, lambang dan simbol.

Barang jadi mahal

Hanya kulit menjadi pujaan kerana isi sudah lama hilang. Ia seperti tidak ramai yang pedulikan spesies Harimau Malaya yang bakal pupus tidak lama lagi kerana kita lebih sayangkan gambar, imej dan simbolismenya berbanding benar-benar memulihara hidupan liar yang terancam itu.

Dengan atau tanpa sebarang wawasan, 2020 telah pun tiba - sama ada kita bersedia atau tidak. Saya masih kekal pesimis dan sinis.

Memang saya sendiri tidak suka dengan perangai ini tetapi sukar untuk membuangnya. Mungkin saya boleh berazam untuk lebih positif sempena tahun dan dekad baru ini, tetapi itu juga sekadar angan-angan.

Sementara itu, nilai ringgit untuk hari ini adalah AS$1 bersamaan RM4.1 manakala £1 bersamaan RM5.4, manakala di seberang Tambah Johor, S$1 bersamaan RM3.0.

Saya pun jarang lagi membeli majalah antarabangsa kerana ia kini menjadi terlalu mahal. Kos sara hidup semakin meningkat manakala gaji masih di takuk lama.

Dan ini bukan soal parti politik mana yang memerintah atau membangkang.

Ini bukan kisah orang lain. Ini adalah cerita tentang diri kita sendiri. Sama ada saya pesimis atau optimis, beginilah realitinya. Sama ada mahu hidup benci-membenci atau bantu-membantu, itu pilihan peribadi. Tiada apa yang akan berubah jika kita terus kaku dan bisu.

Kalau setakat pandai mencari kesalahan, kekhilafan dan kesilapan orang lain, memang kita adalah juara. Saya sendiri pun dengan sedihnya terpaksa mengaku ada “kepandaian” ini.

Persoalannya, selepas daripada itu, apa? Tepuk dada tanya selera, ukur baju di badan sendiri.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, kolumnis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.