Isnin, 27 Januari 2020

Wabak Wuhan jejas kemasukan pelancong

MALAYSIA GAZETTE
WUHAN
Perluasan larangan dan kawalan ke lebih banyak kawasan China telah memberi impak besar kerana semua rombongan akan dibatalkan.
 

PETALING JAYA – Penularan wabak dari Wuhan dan penguatkuasaan kawalan pergerakan dan pelancongan di China telah menyebabkan banyak rombongan ke Malaysia terpaksa dibatalkan.

Kesannya lebih menonjol memandangkan Tahun Baharu Cina adalah tempoh kemuncak kemasukan pelancong China dengan kira-kira 300 rombongan memasuki Malaysia setiap hari.

Jumlah itu juga tidak termasuk pelancong yang tidak mengikuti rombongan, tetapi melawat Malaysia secara bersendirian atau berkeluarga.

Timbalan Presiden Malaysian Inbound Tourism Association, Mint Leong berkata, banyak rombongan dari China telah dibatalkan dan lebih banyak dijangka menerima kesan.

Beliau berkata, kawalan pergerakan dan larangan pelancongan di Wuhan pada permulaan tidak memberi kesan besar kerana ia membabitkan kawasan yang kecil.

Namun begitu, perluasan larangan dan kawalan ke lebih banyak kawasan China telah memberi impak besar kerana semua rombongan akan dibatalkan.

“Anggaran kami adalah sebanyak 300 rombongan China masuk Malaysia melalui Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Singapura setiap hari pada musim perayaan ini.

“Kemuncak kemasukan rombongan dari China adalah dari sehari sebelum Tahun Baharu Cina hingga ke hari keempat perayaan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mint berkata, anggaran awal adalah setiap agensi secara puratanya terpaksa membatalkan satu rombongan dari China.

Beliau menjangkakan bahawa pihak berkuasa China akan dapat menangani wabak itu secara efektif dan keadaan diyakini dapat dipulihkan dalam dua hingga tiga bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.