Hazwan Mohamad
Kembalikan idea Sekolah Wawasan gabung semua bangsa
RAMAI yang berteka-teki siapakah bakal dinamakan sebagai Menteri Pendidikan yang baharu menggantikan Dr Maszlee Malik.
Ada yang
berpandangan diberikan kepada Tok Pa yang pernah menjawat jawatan
Menteri Pengajian Tinggi di era BN dahulu, ada yang berseloroh beri pada
Anwar Ibrahim pun ada.
Bagi saya,
sehingga PRU15 yang dijangka berlaku lebih awal, saya ingin
mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri
Pendidikan. Biarpun bercanggah dengan Manifesto PH, tetapi ingatlah kita
bahawa manifesto bukan kitab suci.
Kenapa
mesti Tun? Sebab saya membayangkan Tun boleh mengembalikan semula idea
sekolah yang menggabungkan semua bangsa dan kaum di dalam kawasan yang
sama iaitu idea Sekolah Wawasan yang terkubur setelah beliau berundur
daripada kerusi PM ke-4.
Lagipun, idea persis sekolah satu aliran ini tidaklah asing dari ideologi Tun yang cukup tidak suka akan Sekolah vernakular.
Tun
Mahathir sewaktu meninggalkan pejabatnya ketika menjawat jawatan sebagai
Perdana Menteri ke-4 pada akhir tahun 2003 pernah menyebut;
“Jika
rakyat di negara ini sengaja ingin mengasingkan diri dengan berfikiran
sekolah kebangsaan hanya patut dipenuhi kanak-kanak Melayu, sekolah Cina
untuk kanak-kanak Cina dan Tamil untuk kanak-kanak Tamil saja, maka
sudah tentu sukar untuk membentuk corak rakyat Malaysia yang ada
sekarang ini.
Kemudian pada tahun 2012, ketika hangat kembali cadangan menghapuskan sekolah vernakular, Tun sekali lagi menyebut;
“Sekiranya
kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka
kita akan ada 3 rakyat berlainan, dengan setiap satu bercakap dalam
bahasa berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup
bersama sekiranya kita tidak memahami satu sama lain,” katanya yang dipetik Bernama.
Tahun
2014, Tun sekali lagi mengulangi pendirian beliau apabila melihat begitu
banyak sekali Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi kelulusan. Tun
menyebut dalam blognya;
“Dengan
perkembangan ini, anak daripada kaum berbeza hilang semua peluang untuk
membesar bersama – anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina ke
sekolah rendah dan menengah Cina, dan India ke sekolah Tamil,” terang beliau.
Tahun ini,
apabila Tun menduduki kembali kerusi Perdana Menteri Malaysia, beliau
sekali lagi menyatakan pendirian beliau. Tun menyebut bahawa sekolah
vernakular menjadi penghalang perpaduan kaum di Malaysia;
“Ini
bermakna berlainan bangsa pergi ke sekolah yang berbeza. Mereka tidak
mengenali antara satu sama lain dan apabila mereka tamat sekolah, mereka
pergi bekerja dengan kaum lain yang tidak mereka kenali. Ini menjadi
penghalang kepada perpaduan negara,” katanya.
Saya melihat bahawa sudah tiba waktunya untuk kita menilai semula Sekolah vernakular di Malaysia.
Dalam menelusuri detik-detik Malaysia Baharu, dalam kita mahu ‘membina semula negara’ ini kita perlu jujur dan berani.
Tidak ada
mana-mana negara di seluruh dunia hatta negara jiran kita yang paling
hampir, Singapura pun tetap mengangkat sistem pendidikan satu aliran
walaupun mereka juga berbilang bangsa.
Baru-baru
ini ketika Menteri Kewangan membentangkan belanjawan 2019, kecoh apabila
melihat bagaimana kerajaan seolah-olah tidak melakukan analisa
keperluan yang mendalam ketika mengagihkan peruntukan.
Dan ini menimbulkan polemik ketidakpuashatian dalam kalangan rakyat.
Saya kira,
jika hasrat Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad diteruskan
iaitu meletakkan asas pendidikan kita kepada sekolah satu aliran sahaja,
polemik seperti ini tidak akan berlaku.
Anak
Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan dan anak Iban, semua anak
kita, dan semua duduk belajar dalam satu sekolah yang sama, menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bahasa perpaduan seluruh anak
Malaysia!
Bila saya
amati balik ucapan Tun ketika mahu meninggalkan Pejabat Perdana Menteri
ke-4 tahun 2003 itu, maka tahulah saya, mengapa Tun ketika awal
mengangkat sumpah menyatakan hasrat beliau mahu memegang portfolio
Menteri Pendidikan.
Wahai
seluruh anak Malaysia, sudah tiba masanya untuk kita jujur dan berani,
untuk sebuah masa hadapan Malaysia yang lebih baik dan harmoni.
Hidup Rakyat!
*Hazwan Mohamad- Presiden, Professional Muslim Community (PMC)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.