Jumaat, 3 Januari 2020

Model sambilan dicekup berkhalwat

Zuliaty Zulkiffli
 
 

SEORANG wanita di Alor Setar sanggup menipu keluarga kononnya dia dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di bandar raya itu, namun sebaliknya bermalam di rumah teman lelaki.

Helahnya terbongkar apabila dia dicekup bersama lelaki itu ketika berdua-duaan dalam rumah sewa lelaki berkenaan di sebuah taman perumahan, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup 12 tengah hari semalam.

Beliau berkata, ia hasil dari aduan orang awam yang ternampak perbuatan mencurigakan pasangan itu.

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki membuka pintu rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terdapat seorang wanita dalam rumah berkenaan dan mereka gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri,” katanya hari ini.

Radzi berkata, siasatan lanjut mendapati wanita berusia 29 tahun itu berstatus ibu tunggal dan menetap di Pokok Sena, malah bekerja sebagai model sambilan.

Beliau berkata, lelaki berusia 22 tahun itu pula bekerja di sebuah kedai telefon bimbit di sebuah pasar raya di pusat bandar dan berasal dari Baling.

“Wanita itu memberi alasan kepada keluarganya dia sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta menyebabkan dia tidak pulang ke rumah.

“Berikutan itu kami menahan mereka mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.