KUALA TERENGGANU: Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan memperkasakan pertandingan tilawah Al-Quran Braille bagi peserta kelainan upaya (OKU) penglihatan.
Pengarahnya Azhar Jusoh berkata, pihaknya bersama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Terengganu (Pertis) akan bekerjasama bagi menonjolkan bakat peserta OKU di peringkat lebih tinggi.
Sebelum ini, katanya, pertandingan tilawah Al-Quran Braille hanya diadakan di pusat pengajian Pertis di Seberang Takir, Kuala Nerus dalam skala kecil.
Jelasnya, peserta OKU perlu diberi peluang sama dengan qari dan qariah normal, di samping sebagai dorongan agar mereka berjaya sehingga peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kita bersedia membantu persatuan tersebut melaksanakan majlis tilawah Al-Quran orang-orang kurang upaya ini supaya menjadi aktiviti Yayasan Islam Terengganu, dan kalau perlu, kita jadikan aktiviti tahunan," kata Azhar.
Sementara itu, peserta tilawah yang ditemui turut melahirkan harapan agar pihak berkenaan dapat membantu golongan OKU seperti mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.
Seramai 28 qari dan qariah OKU penglihatan memperdengarkan bacaan ayat Al-Quran pada majlis yang julung kali diadakan oleh Pertis bersama YIT pada Selasa.
Majlis Tilawah Al-Quran Braille tahun ini menyaksikan qari dari Kuala Nerus, Abdul Latif Yusof dan qariah dari Kerteh, Afzam Mustafah memenangi tempat pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.