Sedangkan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, ia menjadi penanda aras beliau meneraju Kementerian Pendidikan Malaysia selama 20 bulan.
“Banyak pencapaian yang indah tetapi malangnya tidak mendapat perhatian. Namun yang lebih banyak tajuk sensasi yang di papar di media selama ini,” katanya.
Maszlee turut mengimbau kenangan ketika beliau masuk ke bangunan kementerian sebagai Menteri Pendidikan hampir 20 bulan yang lalu.
“Dari hari pertama, saya membayangkan kontroversi demi kontroversi.
Beliau juga sering membayangkan betapa beratnya tanggungjawab memegang kementerian strategik di negara ini.
Apa pun, Maszlee percaya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM.
Jelas beliau, ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat iaitu Pendidikan Untuk Semua.
“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu.
“Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengumumkan peletakan jawatan di kementeriannya di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Teo Nie Ching.
Maszlee turut meluahkan rasa terkilan kerana banyak pencapaian yang telah dilaksanakannya tidak dilihat sebagai penanda aras beliau meneraju KPM selama 20 bulan.
“Namun, semenjak tahun 2018, KPM telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan.
“KPM telah menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan, kemudiannya kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 – Jun 2019) dan kad laporan untuk tahun 2019. Trend ini telah diikuti oleh kementerian- kementerian yang lain,” katanya.
Tahun 2019 tambah Maszlee kemudiannya membuktikan beberapa inisiatif yang kementerian perkenalkan akhirnya membuahkan hasil.
Jelas beliau, hampir 90 peratus projek sekolah daif yang kementerian usahakan, siap lebih awal.
“Kita paparkan progres sekolah daif ini di laman web. Tidak pernah sebelum ini projek kerajaan begitu transparen dan boleh diakses oleh orang awam.
“Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di seluruh negara.
“Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana tidak berada di sekolah.
“Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada warga sekolah, gerakan Malaysia Membaca serta bacaan semula AUKU di Parlimen juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.