KIMANIS: Umno hari ini mengesahkan bekas Adun Bongawan, Mohamad Alamin calonnya untuk pilihan raya kecil Kimanis 18 Jan ini.
Ketua Umno Kimanis itu disebut-sebut sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata Alamin pilihan utama kerana beliau dikenali pengundi di Parlimen itu.
Ini juga pertama kali Umno Sabah menggunakan autonominya untuk memilih calon pilihan raya.
“Kita adakan 4 pusingan tapisan calon dan kami percaya beliai calon yang tepat untuk membawa Umno-BN kepada kemenangan,” katanya di pejabat Umno hari ini.
Hadir pada sidang media tadi adalah Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Annuar Musa dan pimpinan kanan Umno lain.
Bung Moktar berkata Alamin, 48, terpilih daripada 6 nama yang berpotensi.
Diramalkan pertandingan pada PRK Kimanis nanti satu lawan satu antara Umno dan Warisan.
Warisam belum menamakan calonnya tetapi calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-14, Karim Bujang disebut-sebut akan terpilih.
Terdapat seramai 29,644 pengundi yang layak mengundi di Kimanis, dengan 42% Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam, dan 6% Cina.
Umno bertahan di kerusi Parlimen itu sejak 3 penggal lalu menerusi penyandang, Anifah Aman.
Kerusi Kimanis kosong selepas Mahkamah Persekutuan mempertahankan keputusan Mahkamah Pilihan Raya bagi mengisytiharkan kemenangan Anifah terbatal dan tidak sah.
Anifah berkata beliau tidak berminat untuk menyertai pertandingan 18 Jan ini dan mahu tumpu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Bung Moktar berkata kemenangan di Kimanis akan menjadi titik permulaan kebangkitan semula Umno-BN di negeri itu, dan menambah parti-parti pembangkang di Sabah akan memberi sokongan kerana mereka berkongsi matlamat yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.