Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman berpandangan sumpah laknat yang dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Katanya, istilah sumpah laknat (li'an) dan "mubahalah" terdapat dalam Islam, bagaimanapun dalam melaksanakannya ia harus melihat kepada situasi.
"Sebenarnya istilah itu ada dalam syarak, mubahalah istilah yang ada, tinggalnya lagi untuk mengamalkannya. Ada waktu sesuai, ada waktu tak sesuai, tetapi tidak bercanggah dengan syarak.
"Bagi orang ramai tidak sesuai (untuk sumpah laknat), kalau tidak sikit-sikit mahu bersumpah. Bagi pemimpin tertentu mungkin sesuai kalau tiada pilihan.
Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang.
Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menter) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.
Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an".
Dalam Islam, ucapan li'an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi.
Manakala Istilah "mubahalah" (saling laknat melaknati) yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam.
Menurut Zamihan sumpah yang dilakukan Najib adalah berbentuk sumpah tazkiyyah iaitu penyucian diri atau tabri'ah (pelepasan) diri daripada sebarang bentuk fitnah atau tuduhan jahat.
Katanya, walaupun sumpah Najib tidak memberi impak kepada mahkamah sivil atau mahkamah syariah, tetapi sekurang-kurangnya beliau berani menafikan tuduhan berkenaan atas nama Allah SWT.
"Sumpah dalam bentuk ini merupakan sumpah tazkiyyah (penyucian diri) atau tabri’ah (pelepasan) diri daripada fitnah atau tuduhan jahat sebagaimana yang dibuat oleh Saad ibn Abi Waqqas RA terhadap seorang lelaki yang memfitnah beliau.
"Cuma sumpah begini tidak digalakkan kerana dikhuatiri orang yang bersumpah mempermainkan sumpah atas nama Allah SWT dan ia boleh mengundang laknat. Ini kerana ia boleh menyebabkan turunnya bala dari Allah SWT dan memberi kesan kepada masyarakat sejagat.
"Selain itu ia dilihat memperkecilkan peranan mahkamah sivil atau mahkamah syariah dalam sesebuah negara," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.