Selasa, 24 Disember 2019

Kebolehan penyanyi AS baca ayat Kursi memukau dunia Arab

MALAYSIAKINI




Kebolehan penyanyi warga AS, Jennifer Grout mengalunkan bacaan ayat al-Kursi dengan lancar dalam sebuah rakaman klip video tular memukau dunia Arab dan warga alam maya.

Dalam rakaman tersebut, Jennifer menunjukkan kesungguhannya sewaktu membaca ayat ke-255 daripada surah al-Baqarah.

“Sewaktu pertama kali jatuh hati dengan muzik Arab, guru saya memberitahu agar mendengar bacaan al-Quran sebagai latihan untuk membiasakan diri dengan nuansa nyanyian dalam bahasa berkenaan.

“Ini kerana, kedua-duanya iaitu bahasa Arab dan al-Quran mempunyai persamaan seperti kualiti melodi, teknik vokal, modulasi maqam dan sudah tentu bahasanya. Kebanyakan penyanyi hebat Taarab mempunyai kemahiran membaca al-Quran.

“Saya membaca al-Kursi mengikut gaya pembaca al-Quran terkenal Mohammed Siddiq Al Menshawi.

“Membaca al-Quran memiliki seni tersendiri, ia boleh dihargai oleh sesiapa saja tak kira Muslim atau bukan Muslim,” katanya di media sosial.

Namun, perkara itu bukan yang pertama seumpamanya apabila anak kelahiran Boston itu muncul dengan perkara menggemparkan.
Terdahulu, dia sudah mengemparkan ramai peminat dan negara kelahirannya sendiri apabila mengumumkan secara rasmi sudah memeluk Islam.

Dalam hantaran berbeza, Jennifer berkata: “Bagi sesiapa yang tertanya-tanya selepas menonton saya membaca al-Kursi, ya, saya seorang Muslim; memeluk Islam di Morocco pada 2013.”

Bintang Arab Got Talent itu berkata demikian sebagai respons kepada netizen yang memberi saranan agar dia memakai hijab sewaktu memperdengarkan bacaannya.

Pun begitu, secara jujur Jennifer, berkata, dia masih berusaha mendalami Islam sebaik mungkin dan tidak mahu umum memberikan tanggapan salah mengenai dirinya.

“Saya belum secara menyeluruh komited dan tidak mahu orang memandang serong kerana ingat sudah bertudung.

“Al-Quran boleh diakses oleh sesiapa yang mendalami dan mahu mendengarnya,” katanya.

Jennifer berdarah Ireland-AS merupakan seorang peminat muzik Maghribi. Dia terkenal kerana menyanyikan banyak lagu-lagu dalam bahasa Andalusia, Amazigh dan Arab


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.