Ahad, 1 Disember 2019

Doa PH jangan ada PRK lagi

HARAKAHDAILY


MUNGKIN terlalu cepat untuk meneka kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berakhir selepas Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan kalah teruk calon Bersatu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November lalu.

Kita mungkin belum tahu apa senjata sulit yang belum digunakan oleh tiga pemimpin serangkai PH – Anwar, Mahathir dan Kit Siang – dalam empat pilihan raya kecil parti itu kalah berturut-turut sebelum ini.
 
Mungkin mereka politikus bergeliga dari Malaysia Baru menyembunyikan senjata itu untuk digunakan pada PRU15 nanti.

PH yang merampas kuasa pada PRU14 telah kalah dalam empat PRK terakhir – tiga daripadanya adalah kawasan yang dimenanginya iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Tanjung Piai. Ia gagal merampas Rantau yang dimenangi tanpa bertanding oleh Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

Harapannya untuk kekal berkuasa jika ia ada senjata sulit yang disoroknya. Mana ada politik zaman ini tidak menggunakan senjata sulitnya jika senjata itu ada. Hanya Pandir membiarkan parti politiknya dikeroyok musuh. Pandir tidak akan masuk politik.

Dalam kekalahan PRKnya yang terakahir di Tanjung Piai kalahnya bukan kecil. Menangnya dulu kecil, kurang seribu, tapi kalahnya amat besar, lebih 15,000 undi.

Payah nujum politik hendak berkata ia akan mengulangi kejayaan PRU14. Sekalipun berkumpul tiga kepala bergeliga – Anwar, Mahathir dan Kit Siang – kemenangan lagi amat payah sekalipun Najib dan Zahid kalah dalam kes mereka. Bahkan sekalian pemimpin Umno yang didakwa kalah di mahkamah, tetapi calon Piagam dikira lebih sedap.

Jadi apakah harapan Pakatan Harapan? Berdoa supaya jangan ada lagi PRK selepas ini. Jika ada juga berdoalah supaya jangan kalah lagi!

Tetapi berdoa itu adalah senjata orang Islam. Ia bukan senjata PH kerana yang berpengaruh dalam PH ialah bukan Islam. Anwar dan Mahathir mungkin percaya kepada doa tapi tidak Kit Siang dan partinya.

Bukan semua doa orang Islam makbul. Banyak syarat diperlukan supaya doa mustajab. Apakah Piagam yang diwakili oleh Umno dan PAS berdoa supaya calon MCA di Tanjung Piai menang?

Calon MCA yang menang itu tentunya tidak berdoa. Kalau berdoa pun tidak cukup syarat. Tidak makbul. Kalau ada yang berdoa akan kemenangannya ialah orang lain. Hanya Allah yang menentukan doa orang lain itu makbul atau tidak.

Tetapi orang Islam mesti beriman, doa adalah ibadat dan senjata bagi orang Islam. Ibadat yang diterima hanya ibadat orang Islam. Yang tidak Islam doanya bukan ibadat dan tidak diterima.

Dalam situasi itu apakah PH akan berdoa supaya jangan ada lagi PRK hingga tiba PRU15?

Mungkin serpihan PAS yang jadi kerabat PH dan serpihan Umno berdoa, tetapi parti-parti yang berpengaruh tidak bersenjata dengan doa. DAP tidak pernah berdoa tetapi ia menang di Pulau Pinang. Ia tidak berdoa tetapi menjadi paksi penting dalam kerajaan PH.

Biarkanlah ia dengan kepercayaannya dan kita dengan kepercayaan kita.

Tetapi dengan segala perkembangan politik harapan PH untuk menang lagi sudah tidak banyak, jika yang ada hanya berdoa, maka ia tidak mengharapkan doa, payah bagi semua memikirkan PH akan beroleh harapan lagi.

Satu saja lagi harapannya ialah PM Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar. Tapi apakah keramat Anwar menjamin PH berkuasa lagi? Terlalu banyak yang PH perlu rungkai untuk mengulangi kemenangannya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.