Penindasan etnik Uyghur tak akan selesai masalah ekstremisme: Mapim
BANGI – China tidak akan sesekali dapat mengatasi apa yang disebut mereka
sebagai ‘ekstremisme’ dengan cara penahanan besar-besaran dan menindas
etnik Islam Uyghur di negara itu.
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul
Hamid menegaskan, penindasan yang dilakukan republik itu ketika ini
tidak akan berjaya dalam menghentikan kepercayaan serta keimanan
seseorang terhadap agama.
Sebaliknya, katanya lagi, China perlu menerima Islam sebagai sebahagian daripada dasar dalam pembangunan kebangsaannya.
“China mesti
menyangkal idea kegilaan Islamofobia yang nampaknya diambil dari barat.
Barat mempunyai pandangan yang menyimpang daripada Islam, menyamakan
keganasan dengan agama, sambil membenarkan dasarnya untuk mengenakan
tindakan keras dan tidak adil terhadap ‘pengganas Islam’.
“Barat
mempunyai sejarah permusuhan terhadap Islam dalam usaha melancarkan
perang, sehingga mempromosikan Islamofobia sebagai dasar arus utama
pemerintah.
“China hanya
menempah jalan untuk kegagalan jika ia mengambil jalan yang sama
seperti barat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan,
kini terdapat 1.5 juta etnik Uyghur ditahan di kem tahanan atas nama
pendidikan semula (re-education program), walhal ia adalah kem tahanan
penyeksaan yang sangat berat di China.
Tidak ramai
yang mengetahui kesengsaraan sebenar dilalui etnik Uyghur yang berasal
dari negara Turkistan Timur yang pernah berdaulat.
Kini wilayah itu berubah nama menjadi Xinjiang, di bawah pemerintah kerajaan China berideologi komunis.
Seperti
warga Palestin yang kehilangan bumi Palestin menjadi Israel pada 1948,
warga Rohingya kehilangan bumi Arakan menjadi Rakhine juga pada 1948,
etnik Uyghur turut kehilangan bumi Turkistan Timur menjadi Xinjiang pada
1949.
Pada masa
sama, Mohd Azmi berkata, adalah ironi apabila China sering terlibat
dengan negara-negara muslim untuk kepentingan perdagangan, namun ia
masih terperangkap dalam pandangannya bahawa Islam dan umat Islam adalah
ancaman kepada keamanan serta kestabilan.
“Kami
mempersoalkan semasa China kukuh dalam usahanya untuk melabur di
negara-negara Islam, mengapa ia melihat bahawa menjadi orang Islam
adalah ancaman kepada kestabilan.
“Melabur di negara-negara Islam nampaknya menjadi sasaran perdagangan utama oleh China,” katanya.
Mohd Azmi
turut menekankan bahawa China mengambil jalan yang salah untuk keamanan
dan kestabilan negaranya dengan menindas Islam.
“Islam tidak akan dapat dihalang kerana ia mempunyai kehadiran tamadun yang panjang di China.
“Walaupun
pegawai-pegawai China telah menafikan langkah-langkah menindas yang
diambil terhadap umat Islam terutamanya etnik Uyghur, bukti dengan
realiti yang bertentangan dari mangsa ada banyak.
“Sekiranya
China mahu diterima sebagai negara yang mesra kepada umat Islam, dasar
yang menindas terhadap Uyghur dan umat Islam Cina mesti dihentikan dan
penglibatan yang lebih konstruktif dan tulen mesti dijalankan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.