Isnin, 30 Disember 2019

Disaran jumpa pakar saraf, Hanipa doakan Mokhtar Senik sihat

MALAYSIAKINI




Seorang ulama kanan PAS menyarankan agar neurologis (saraf) pakar "membantu" Hanipa Maidin ekoran pandangan yang diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu berhubung pendirian Dong Zong.

Membuat hantaran ringkas di media sosial, Mokhtar Senik memberitahu pandangan diberikan Hanipa adalah kesan daripada kemalangan yang menimpa ahli parlimen Sepang berkenaan.

"Kesan dari jatuh dan terhempas satu ketika dahulu. Pakar neuro patut bantu..." tulisnya kelmarin.

Walaupun tidak menyatakan secara jelas, Mokhtar yang juga bekas ketua Dewan Ulama PAS Pahang diyakini merujuk kepada dua kemalangan menimpa Hanipa sebelum ini.

Pada 9 Julai tahun lalu ahli parlimen mewakili Amanah itu terjatuh dari pentas apabila pengsan semasa menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
 
Ketika itu Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, sedang menyampaikan ucapan dan Hanipa berdiri di kedudukan paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri JPM.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berada di pentas sama kemudian memberikan pertolongan cemas kepada Hanipa.

Beliau kemudian sedar dan dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Adab kena jaga

Pada 4 April 2016 pula Hanipa pitam dalam Dewan Rakyat dan didapati mengalami serangan angin ahmar. Beliau kemudian kembali menghadiri Dewan Rakyat kira-kira enam bulan kemudian.

Sementara itu Hanipa mempunyai cara tersendiri melayan hantaran Mokhtar.

Turut membuat kenyataan ringkas, Hanipa sebaliknya mendoakan Mokhtar agar ulama PAS itu kekal sihat sentiasa.

"No worries. Be happy, have fun.... (Jangan bimbang. Bersenang-senanglah, bergembira) moga anda sehat selalu ya," katanya hari ini sambil melampirkan tangkap layar hantaran Mokhtar.




Untuk rekod kenyataan Mokhtar itu bukanlah yang pertama dibuat ke atas Hanipa.

Pada Nov tahun lalu, beliau yang dipilih ahli PAS untuk menganggotai jawatankuasa pusat parti berkenaan menyarankan penyokong mereka agar tidak melayan Hanipa yang "pernah dua kali jatuh terlentang."

Hantaran terbaru Mokhtar itu kemudian disambut beberapa pembaca, dengan ada pengguna Facebook dipercayai penyokong pembangkang mendoakan agar timbalan menteri itu agar pendek umur.

Pada masa sama ada juga pengguna Facebook menyarankan agar Mokhtar menjaga adab semasa mengemas kini hantaran di media sosial.

Sebelum ini juga pernah ada penyokong pembangkang mendoakan agar ada pilihan raya kecil parlimen di Pahang, sekali gus secara tidak langsung berharap berlaku kematian ke atas seorang timbalan menteri yang mengalami masalah kesihatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.