Ahad, 24 November 2019

Tiga individu termasuk wanita dan bapa maut dalam kemalangan dekat Mersing

Bernama
 
kemalangan


MERSING – Tiga individu termasuk seorang wanita dan bapanya maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan Honda City di Kilometer 15 Jalan Mersing-Endau, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata, tiga mangsa yang maut itu ialah Nur Ainil Jannah Abdul Manan, 22, dan bapanya, Abdul Manan Ahmad, 59, yang menaiki Toyota Vios serta seorang lelaki penumpang hadapan Honda City, Mahmud Md Aksan, 71.

“Selain tiga yang maut, kemalangan kira-kira 5.30 petang itu turut menyebabkan pemandu Honda City, Mohd Ruzaimie Mahmud, 32 dan empat penumpangnya, Siti Kalsom Sarbini, 63; Siti Soraya Sabtu, 32; Fatimah Az Zahra Mohd Ruzaimie, 3; serta Muhammad Ammar Nafis Mohd Ruzaimie, 5, cedera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Abdul Manan yang dalam perjalanan dari Mersing ke Endau hilang kawalan terhadap Toyota Vios dipandunya ketika melalui selekoh menuruni bukit lalu memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City dipandu Mohd Ruzaimie.

Beliau berkata, Nur Ainil Jannah dan Abdul Manan, yang berasal dari Kluang serta Mahmud yang berasal dari Rengit, Batu Pahat, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Kesemua mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama, katanya.

Menurut Mohd Nor, kemalangan yang berlaku di laluan basah selepas hujan berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 5.49 petang dengan dimaklumkan terdapat kemalangan jalan raya berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong.

Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba Endau dan Mersing kemudian digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 17 anggota dan operasi menyelamat kesemua mangsa tamat sepenuhnya pada 6.50 petang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.