Selasa, 26 November 2019

Selangor peruntukkan RM179 juta baiki jalan rosak

Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Tebatan Banjir di Padang Jawa, Klang, pada 26 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

KLANG: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM179 juta kepada Jabatan Kerja Raya bagi membaiki kerosakan jalan di seluruh negeri ini pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga akan menggunakan keseluruhan peruntukan kepada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) bagi tujuan sama.

“Selangor kini menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan yang saya percaya lebih besar kerana jalan-jalan persekutuan lebih panjang berbanding jalan-jalan Negeri.

“Bagi Kerajaan Negeri, kita akan gunakan sepenuhnya peruntukan Marris bagi menyelenggara jalan. Tidak akan ada satu sen pun kita simpan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyiapan Projek Cadangan Tebatan Banjir di Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, setakat ini aduan membabitkan kerosakan jalan persekutuan lebih banyak berbanding jalan negeri.

Katanya, antara jalan persekutuan paling banyak mengalami kerosakan ialah jalan-jalan di Pelabuhan Klang, Sementa dan jalan yang menghubungkan Meru dengan Kapar.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM88 juta bagi membiayai projek tebatan banjir pada tahun 2020 yang akan disalurkan kepada Jabatan Parit dan Saliran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.