Ahad, 24 November 2019

Rombakan Kabinet: Saya belum buat keputusan lantik Anwar – Tun M

Kumara Sabapatty
MGF23112019_PC-PEMIMPIN-PH10
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad belum membuat keputusan samada mahu menyenaraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila merombak Kabinet tahun depan.

Perdana Menteri berkata: “I havent made a decision yet (Saya belum buat keputusan)”.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas samada Presiden PKR itu akan menyertai Kabinet semasa rombakan dilakukan sebelum November 2020.

Bagaimanapun Anwar yang duduk di sebelah Dr. Mahathir mencelah: “But I didn’t apply (Tetapi saya tidak memohon (jawatan Kabinet),”.

Terdahulu Dr. Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Perdana, di sini.

Hadir pada mesyuarat tersebut Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya reaksi dan sentimen pemimpin PH mengenai rombakan Kabinet pada mesyuarat itu, Dr. Mahathir berkata, mereka menunjukkan respon baik.

“Mereka tidak membantah cadangan itu (rombakan Kabinet), mereka juga tidak kata tolonglah jangan rombak saya” katanya berseloroh.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) berkata, kerajaan akan membuat penilaian pendapat atau teguran yang perlu didengar.

“Rakyat juga berpecah dua. Ada dalam kalangan mereka yang menyokong kami tetapi tidak vokal sangat dan mereka yang tidak gembira dengan penyampaian kami bersuara banyak.

“Oleh demikian kita harus melakukan penilaian mahu ikut kehendak siapa, mereka yang bertentangan atau mereka yang mahukan rombakan Kabinet atau sebaliknya.

“Semua aspek ini akan dipertimbangkan dalam perbincangan sebelum membuat keputusan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.