Sabtu, 30 November 2019

Najib mahu Kit Siang, 2 pihak lagi tunjuk sebab artikel 'hina mahkamah'

Hidir Reduan Abdul Rashid
 
 
 
Bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan permohonan untuk penasihat DAP Lim Kit Siang,
sebuah portal berita dan wartawannya menunjukkan surat tunjuk sebab berkaan satu artikel di internet berkaitan kes SRC International bernilai RM42 juta yang dihadapinya.

Najib mahu tiga pihak itu diarahkan menunjukkan surat tunjuk sebab mengapa mereka tidak perlu dikenakan tindakan atas menghina mahkamah.

Ia berkaitan laporan portal Malay Mail bertajuk “Kit Siang: High Court decision on Najib and Tanjung Piai by election-outcome will indicate where Malaysia headed towards” yang dimuat naik pada 9 Nov.

Notis usul dan afidavit sokongan difailkan di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 November lalu. Salinannya diedarkan kepada media baru-baru ini.

Menurut salinan afidavit sokongan, Najib memohon kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengarahkan Lim, Malay Mail dan wartawan Emmanuel Santa Maria Chin, berkenaan artikel tersebut.

Pemohon mendakwa artikel itu dibuat untuk memberi tekanan kepada mahkamah tinggi dalam keputusannya untuk kes SRC International.

Pada 11 November, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib untuk membela diri terhdap tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC International - dahulunya subsidiari 1MDB - berjumlah RM42 juta.

Dalam afidavit itu, Najib mendakwa kenyataan media Lim dan artikel itu "berupa ancaman yang mempunyai kecenderungan untuk melemahkan atau menurunkan kuasa mahkamah, menghalang dan mengganggu proses keadilan dan dicemari dengan tekanan yang tidak wajar".

"Saya dinasihati oleh peguamcara saya dan percaya bahawa kenyataan media dan artikel Malay Mail itu mengandungi ancaman dan intimidasi kepada mahkamah, yang mana jika mahkamah ini mendapati Najib tidak bersalah dan membuat keputusan untuk tidak memanggil pembelaan beliau, ini bermakna kleptokrasi global akan dapat kembali ke Malaysia

"Saya telah dinasihati oleh peguamcara saya dan percaya bahawa ancaman dan intimidasi seperti ini terutama dalam prosiding yang sedang berjalan jelas bertujuan mengalihkan perjalanan keadilan dan oleh itu satu campur tangan dalam proses undang-undang dan keadilan.

"Saya telah dinasihati oleh peguamcara dan percaya bahawa kenyataan media dan artikel Malay Mail itu, apabila dibaca secara keseluruhan, terjumlah kepada penghinaan mahkamah yang serius dan serangan tidak wajar terhadap badan kehakiman Malaysia," kata najib menerusi afidavit sokongan terhadap permohonannya.

Menurut afidavit itu lagi, permohonan dalam notis usul yang dibuat ialah bagi kepentingan keadilan dan hak perlembagaan Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.

Notis usul difailkan mengikut Aturan 52 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, berkenaan prosedur yang diperlukan untuk prosiding menghina mahkamah.

Pengurusan kes untuk permohonan tunjuk sebab ex-parte dibuat di kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Ex-parte bermaksud prosiding mahkamah yang hanya dihadiri sebelah pihak, memandangkan pihak lawan masih tiada locus standi (hak atau kapasiti untuk hadir ke mahkamah).

Difahamkan proses itu akan menjadi inter-partes - bermaksud melibatkan kedua-dua pihak yang perlu hadir ke mahkamah.

Melainkan Emmanuel, Najib dan Lim tidak hadir hari ini.

Bagaimanapun peguam Lim, Ramkarpal Singh dan peguam Malay Mail dan wartawannya, S Ambiga hadir di mahkamah, tetapi tidak dilihat memasuki kamar Nazlan.

Ketika ditemui selepas pengurusan kes, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata urusan hari ini berkaitan permohonan surat tunjuk sebab terhadap Lim, Malay Mail dan wartawannya.

"Tak banyak saya boleh dedahkan. Kami hadir di depan hakim (Mohd Nazlan) dan hakim mahu sedikit perubahan dibuat," katanya.

Shafee berkata belum ada tarikh ditetapkan untuk urusan seterusnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.