Mangsa turut dilanggar kereta selepas gagal dielak
ALOR SETAR
– Seorang pembantu jualan maut digilis sebuah bas selepas motosikal
yang ditunggangnya merempuh seekor lembu, lalu terjatuh di tengah jalan
raya di Kilometer 7.5 Jalan Kuala Nerang-Pokok Sena, dekat Padang Terap,
malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Noh
Idris berkata, mangsa Cik Puspa Omar, 26, yang berasal dari Kuala Nerang
itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada
bahagian kepala dan badan, selepas diseret kenderaan itu kira-kira 150
meter.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku
kira-kira jam 9 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal seorang
diri dalam perjalanan dari arah Pokok Sena ke Kuala Nerang.
“Ketika tiba di lokasi, seekor lembu
melintas jalan dan mangsa gagal mengelak lalu merempuh lembu berkenaan,
menyebabkan dia terjatuh di tengah jalan.
“Pada masa yang sama, sebuah bas
dipercayai terlanggar mangsa dan menyeretnya sejauh kira-kira 150 meter
(m) dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selain itu, mangsa turut
dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun
selepas gagal mengelak mangsa.
“Pemandu kereta itu tidak mengalami
kecederaan, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah
(HSB) di Alor Setar, untuk bedah siasat,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.