Jumaat, 18 Oktober 2019

Salah guna kuasa: SPRM tahan 2 pegawai Felda

Azam Baki (dua dari kiri) dan Latheefa Koya (tiga dari kiri) 
pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Felda yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka membabitkan Stadium Jengka di Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki berkata, penahahan dua individu itu dibuat oleh SPRM Pahang dan mengesahkan individu berkenaan masih direman.

“Memang ada tangkapan dibuat, kes ini masih baru disiasat, maklumat lanjut saya akan berikan kemudian. Dua individu ini direman selama lima hari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Menurut Azam, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagaimanapun berkata, identiti individu berkenaan tidak akan didedahkan bagi tujuan keselamatan pihak berkenaan.

“Identiti individu memang tidak dapat didedahkan, kita hanya tahan, namun individu ini masih belum bersalah selagi kita tidak buktikan ia bersalah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.