Selasa, 15 Oktober 2019

Perjanjian alih kuasa dimeterai 7 Jan 2018, kata Anwar





KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) hari ini mendedahkan peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi) kepadannya terkandung dalam perjanjian bertarikh 7 Jan 2018, yang dimeterai pimpinan Pakatan Harapan.

Katanya, perjanjian itu menetapkan Mahathir dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) akan berundur dari jawatan perdana dan timbalan perdana menteri apabila tiba masa kelak.

“Soal transisi bukan terletak kepada Port Dickson dan Langkawi. Ini soal perjanjian yang dimeterai pada 7 Jan 2018, ditandatangani oleh semua pimpinan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ingin tahu bila isu peralihan kuasa akan selesai.

Dalam penjelasannya, Anwar berkata perjanjian itu tidak menetapkan secara khusus tarikh peralihan kuasa dan beliau menyerahkan perkara itu kepada pimpinan Pakatan Harapan.

“Bukan keputusan saya seorang atau Langkawi seorang. Jadi persepsi ini, kawan-kawan tolong, bagi saya sudah selesai,” katanya.

Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei tahun lepas.

Anwar, pilihan pertama Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri, disebut-sebut akan menggantikan Mahathir selepas dua tahun.

Jumpa Azmin

Sementara itu, ditemui pemberita di lobi, Anwar ditanya mengenai pertemuannya dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di kafe Parlimen, mengatakan ia cuma perbincangan ekonomi.

Pertemuan 30 minit itu, yang disertai Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, menyusuli perpecahan antara Anwar dan Azmin selepas kemunculan video seks sejenis mirip seorang menteri pada Jun.

Anwar, yang juga presiden PKR, menafikan pertemuan tadi perbincangan khas dengan Azmin, yang dikatakan tidak menghadiri mesyuarat pimpinan parti, dipercayai kerana pergeseran dalaman.

“Kita cuma bincang mengenai ekonomi negara. Isu parti terkawal, parti baik dan ekonomi pun bincang,” katanya.

Anwar juga tidak bertanyakan kepada Azmin mengenai ketidakhadirannya itu.

“Saya tidak ada masa nak tanya. Sebab banyak masalah ekonomi yang harus dibereskan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.