Usul tak patut jadi instrumen halus sebar ideologi liberal, melampau
BANGI –
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan panel pemilih
usul pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 yang
mencetuskan kontroversi, bukan sahaja keterlaluan, malah biadab tanpa
mengambil kira sensitiviti agama.
Meluahkan rasa kesalnya, Naib Presiden
UMNO itu berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja memburukkan dan
memberi persepsi yang salah mengenai komuniti debat, malah kepada
pertandingan itu sendiri.
“Mengapa perkara ini saya dianggap biadap
dan keterlaluan? Pertama, kita tidak seharusnya sampai menolak atau
membuang sepenuhnya nilai pegangan dan kepercayaan agama hanya kerana
mahu berdebat. Usul-usul yang dicadangkan itu jelas memaksa peserta
mengetepikan kepercayaan agama dan nilai yang mereka pegang sebagai
seorang individu.
“Kedua, debat seharusnya membincangkan
perkara yang logik, bersandarkan realiti dan pragmatisme. Bukannya
dijadikan medan untuk mengabsahkan fantasi dan imaginasi pasukan ketua
hakim yang tidak berasas dan tidak berkeperluan.
“Ketiga, debat harus menyasarkan kepada
penambahbaikan dasar dan cara hidup. Bukannya dijadikan instrumen halus
untuk menyebar kekeliruan identiti, ideologi liberalisme melampau atau
pun pemikiran ekstrem. Terutamanya di kalangan bawah umur seperti
pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada perkembangan sama, Khaled yang juga
bekas Menteri Besar Johor menyokong tindakan Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas dalam perkara itu.
“Debat, seperti mana-mana juga
pertandingan atau aktiviti lain mesti disokong. Tetapi, ia haruslah
dilaksanakan dengan pendekatan dan cara yang menjadikan kita manusia
yang lebih baik.
“Malah, menjadikan kita sebagai
warganegara serta penganut dan pendukung agama yang lebih baik. Jika
tidak, semua yang kita lakukan akan bersifat sia-sia,” kata beliau.
Terdahulu tular di laman sosial mengenai
Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dalam kalangan pelajar sekolah
yang membabitkan topik kontroversi berkaitan asas Islam seperti Islam
tidak menghalang homoseksual dan penulisan semula al-Quran.
Siasatan mendapati panel pemilih usul
pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 di Sekolah Dato’
Abdul Razak (SDAR) yang mencetuskan kontroversi, tidak mengikut
Prosedur Operasi Standard (SOP).
Kementerian Pendidikan semalam berkata,
panel terbabit yang juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal
daripada pihak SDAR berkaitan usul tajuk debat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.