Dewi Remaja 2019 diperketatkan dengan beberapa peraturan bagi mengelak peserta tahun ini terbabit masalah sosial seperti kontroversi lalu.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal, misi utama pertandingan edisi ke-10 itu ialah untuk mencari seorang personaliti remaja yang boleh dijadikan contoh terbaik.
Justeru, kata Emarina, pihaknya akan memastikan peserta dikuarantin sepanjang pertandingan itu berlangsung bagi mereka memberi fokus pada perkara berfaedah.
“Kami tak mahu ada kelonggaran hingga peserta kali ini mengulangi kesilapan seperti tahun lalu,” katanya.
Tambah Emarina, pertandingan Dewi Remaja wajar digunakan sebagai platform untuk peserta menyumbangkan jasa bukan saja dalam tapi di luar negara.
Seramai 20 orang calon peserta Dewi Ramaja terpilih untuk saringan akhir namun hanya 12 orang saja berjaya sebagai finalis.
Peserta yang diserap masuk ialah Andrianna Fernandez, 19, Shaza Nuriman (24), Nynaa Harizal (23), Sharlina Gilbert (23), Myra Natasha (24), Syamira Izzati (22), Saidah Syahirah (23), Adriana Ghafar (21), Syaza Ezra (19), Shatirah Amanda (19), Nina Amin (23) dan Aishah Azhan (24).
Sepanjang lapan episod, pelakon dan pemenang Dewi Remaja 2005/2006 Scha Al Yahya akan bertindak sebagai juri tetap manakala aktres Amelia Henderson menjadi pengacara.
Video kelab malam
Terdahulu, penyandang gelaran juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee mencetus kontroversi selepas tular rakaman klip video dia bersama beberapa peserta lain berhibur sambil minum minuman keras di sebuah kelab malam.
Susulan konterversi dianggap melanggar syarat penyertaan dan kontrak pertandingan, gelaran juara diberikan kepadanya ditarik balik oleh penganjur.
Untuk rekod, Haneesya memohon maaf dan mengaku dia menerima penarikan balik gelaran tersebut dengan hati terbuka.
Sementara
itu, Editor Pengurusan Remaja, Fiezreen Ahmad berkata, peserta bakal
didedahkan cara menguruskan media sosial dengan lebih bermanfaat.
“Buat pertama kali Dewi Remaja menyuntik elemen pengetahuan am sebagai salah satu elemen utama.
“Ia bagi membuktikan peserta mempunyai pakej menyeluruh terutama daripada segi aspek personaliti dan latar belakang akademik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.