Jumaat, 18 Oktober 2019

Maszlee menari ikut rentak Najib, kata 'Superman'

MALAYSIAKINI



Penulis komik kontroversi berkenaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Hew Kuan Yau mengkritik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kerana mengharamkan komik itu di sekolah.

Hew yang juga kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia di Pulau Pinang mendakwa menteri itu menari mengikut rentak bekas perdana menteri Najib Razak.

Meluahkan rasa tidak puas hatinya di media sosial, Hew berkata dia merangka dan menerbitkan komik itu dalam tiga bahasa untuk meningkatkan pemahaman rakyat terhadap BRI.

"Untuk menggalakkan pelajar untuk lebih tahu tentang BRI, (kami) menghantar komik itu secara percuma di setiap sekolah. Tidak wujud soal mencuci otak murid dan menyemai komunisme," katanya yang lebih dikenali dengan gelaran 'Superman'.

Bagaimanapun bekas ahli politik DAP itu berkata Maszlee segera mengarahkan sekolah agar tidak menerima komik itu - bertajuk Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama - sebaik selepas Najib membangkitkannya dan mendakwa DAP mengancam orang Melayu.

Dia bertanya sama ada Maszlee mengamalkan double standard dengan membangkitkan universiti awam yang dibenarkan menganjurkan Kongres Maruah Melayu baru-baru ini.

"Dia (Maszlee) membenarkan universiti menjadi tempat mencuci otak tetapi mengharamkan komik di pustaka sekolah. Inilah menteri pendidikan yang saya kenal," katanya yang juga ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (JBC).
Pada Rabu lalu, Najib bertanya kepada Maszlee sama ada kementeriannya membenarkan komik itu diedarkan di sekolah.

Dia juga mendakwa Muzium Kebudayaan dan komik Asia didanai kerajaan Pulau Pinang dan menyebarkan propaganda di sekolah.

Selain itu, Najib berkata komik itu merendah-rendahkan dirinya dan keluarga, serta kerajaan BN.
Versi Bahasa Melayu komik itu diedarkan secara percuma di sekolah menengah vernakular dan kebangsaan.

Maszlee berkata kementeriannya tidak pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya.

"Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik ini daripada mana-mana pihak atau pembekal.

"Sekolah merupakan institusi pendidikan yang neutral dan tidak seharusnya menjadi medan penyebaran propaganda politik," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.