Selama ini DAP selalu main isu perkauman: Ismail Sabri
BANGI
– Lim Kit Siang tidak layak bercakap mengenai perpaduan kerana DAP
sendiri mengamalkan perkauman, walaupun selama ini menekankan aspek
kepelbagaian dalam piagam mereka, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menyifatkan kebimbangan parti
tamak haloba DAP semakin terserlah selepas melihat orang Melayu banyak
membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu tidak
lagi merasakan kerajaan sedia ada mampu mempertahankan nasib bangsa
Melayu dan Islam.
“Selama ini yang memainkan isu perkauman
adalah DAP. Isu kecil seperti tulisan Jawi pun mereka mainkan dan
jadikan isu perkauman. Jadi yang bersifat perkauman selama ini adalah
DAP.
“Malah, Kit Siang dianggap rasis oleh Tun
Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu sewaktu di dalam UMNO, beliau
sendiri kata Kit Siang dan DAP adalah rasis.
“Dan ia tidak pernah berubah dari dahulu
sampai sekarang. Itu bukan kenyataan saya tetapi kenyataan Dr Mahathir,”
kata Ismail dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut
menempelak kenyataan veteran DAP itu bahawa ‘taawun siyasi’ PAS-UMNO
akan memburukkan lagi politik toksik kaum dan agama ke paras yang tidak
pernah dilihat sebelum ini.
Ismail menegaskan, Muafakat Nasional
dibentuk atas dasar mahu memperkukuhkan agama Islam dan orang Melayu
yang tertekan serta tercabar dengan tindakan kerajaan PH.
Malah, katanya, muafakat ini juga bukan
sahaja menjadi benteng dalam menjaga kebajikan orang Melayu tetapi juga
kaum lain yang berada dalam negara ini.
“Kit Siang tak usahlah menakut-nakutkan
rakyat khususnya kaum bukan Bumiputera untuk melihat Muafakat Nasional
sebagai satu ancaman kepada kaum dan agama lain. Tiada apa yang perlu
ditakutkan.
“Penyatuan ini juga menjaga kepentingan
kaum-kaum lain sebab itu kita lihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
bukan Melayu malah parti-parti politik bukan Melayu pun turut serta
menyaksikan acara tandatangan piagam di Himpunan Penyatuan Ummah, PWTC,”
kata beliau.
Sabtu lalu, Piagam Muafakat Nasional yang
dimeterai UMNO dan PAS antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan
mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian
agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik,
keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Piagam itu ditandatangani oleh kedua-dua
presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi UMNO dan Datuk
Seri Abdul Hadi Awang (PAS) pada satu majlis bersempena Himpunan
Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.