Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Berjasa kesal sikap menteri anggap isu kepentingan awam 'picisan'
BANGI– Kerajaan digesa mengetatkan semua prosedur permohonan dan pemberian
MyKad kepada warga asing di semua peringkat bagi memastikan aktiviti
penjualan kad pengenalan diri tidak lagi berulang.
Demikian saranan Ketua Penerangan Parti
Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad susulan
pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga asing baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa
individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan polis
susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di
Pulau Pinang.
Dalam operasi khas, beberapa kakitangan
dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di
Putrajaya ditahan mengikut Akta SOSMA.
Berita Harian memetik sumber sebagai
berkata, antara yang ditahan termasuk pegawai JPN Pulau Pinang bagi
membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen Pulau
Pinang mengenai wanita warga China memiliki MyKad sah mahu membuat
pasport Malaysia.
Difahamkan, wanita berusia antara 25
hingga 30 tahun itu datang ke pejabat imigresen negeri bagi membuat
pasport Malaysia sebelum mengemukakan MyKad miliknya yang sah.
Bagaimanapun, status kewarganegaraan
wanita terbabit diragui sebelum imigresen bertindak membuat laporan
polis berhubung perkara berkenaan.
Mengulas perkara itu, Hazwan berkata,
kerajaan perlu menekankan penguatkuasaan menyeluruh bagi mengenal pasti
siapa lagi pemegang MyKad yang tidak sah.
“Semakin hari semakin banyak pembongkaran
yang telah dibuat melalui Jabatan Imigresen. Namun, hanya beberapa
menteri sahaja yang membuat kenyataan mengecam.
“Seolah-olah ini hanya isu picisan. Sedangkan isu ini membabitkan kepentingan awam, kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa Pejabat Peguam Negara memberi keutamaan berhubung kes ini dengan mendakwa pihak terbabit.
“Dakwa bukan sahaja ‘ikan bilis’ tetapi
‘jerung’ yang terbabit! Pihak mahkamah juga perlu meletakkan prioriti
perbicaraan kes ini kerana ianya membabitkan kepentingan awam dan
kedaulatan negara,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.