Khaled tempelak cara pemikiran Kit Siang yang amat songsang
BANGI
– “Yang bercakap mengenai Malaysia Baharu, hanyalah YB (Lim Kit Siang),
anak YB dan konco-konco YB. Seolah-olah YB adalah pejuang pembebasan
yang terpenjara berpuluh tahun dan akhirnya setelah dibebaskan berjaya
menumbang kerajaan yang zalim.”
Demikian
selar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap
kenyataan penasihat veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung objektif
‘Malaysia Baharu’ sehingga memberi bayangan beliau akan bersara.
Kit Siang
dalam blog rasminya beberapa hari lalu melontarkan pertanyaan sama ada
beliau perlu melupakan impian Malaysia Baharu dan bersara selepas lebih
lima dekad bergelumang dalam politik, ekoran keyakinan dalam kalangan
penyokong yang dikatakan semakin menurun.
Menyebut
berkenaan dekad perjuangan dan pengorbanannya, Kit Siang berjanji bahawa
DAP tidak akan memungkiri keyakinan rakyat atau mengetepikan prinsipnya
serta harapan dan objektif Malaysia Baharu.
Membidas perkara itu, Khaled mengingatkan Kit Siang bahawa yang baru tidak semestinya baik dan yang lama tidak semestinya jelik.
Malah, beliau menyifatkan cara pemikiran yang dibawa oleh Kit Siang sebagai amat songsang dan juga keanak-anakan.
“Apa YB
lupa, BN telah membina negara ini dengan jayanya. Jika tidak, masakan
peralihan kuasa berlaku dengan aman dan baik. Jika tidak, masakan
kerajaan dapat berfungsi seusai pilihan raya. Jika tidak, masakan wujud
generasi yang sangat waras dan tegas menentang apa yang mereka anggap
korupsi dan kejahatan.
“Jika benar
BN dan orang Melayu yang mendukung UMNO ini terlalu jahat, tidak akan
pernah wujud ruang peralihan kuasa dan pemugaran demokrasi di negara
ini.
“Setelah BN
tumbang, tidak ada satu pun tunjuk rasa yang UMNO dan PAS anjurkan. Kami
sangat menghormati pilihan rakyat dan kami menerimanya dengan berlapang
dada,” katanya dalam satu kenyataan.
Malangnya,
jelas Khaled, setelah lebih setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah
dengan kualiti pentadbiran yang gagal, maka cara paling mudah untuk
mengalih ketidakpuasan hati rakyat ialah mencari kambing hitam.
“YB enggan
menerima hakikat bahawa yang menggantikan kleptokrasi adalah
kakistokrasi. Malah kini, pelbagai episod video seks, jenayah seksual
dan rujukan bahan lucah dilakukan oleh anggota Kerajaan. Seolah-olah,
kakistokrasi kini berubah pula menjadi pornokrasi.
“Maka timbul
tuduhan bahawa ada pihak tertentu yang bermain sentimen kaum dan agama.
Malah, rakan-rakan YB sehingga ke hari ini masih bercakap tentang
‘kartel’ dan ‘deep state’ yang tidak ada siapa pun faham maksudnya.
“Barangkali,
para jemaah menteri yang bersijil palsu dengan kelayakan luar negara
yang ditipu boleh memberikan pencerahan kepada kami yang hanya belajar
dengan jujur di universiti tempatan,” katanya.
Mengulas
lanjut, Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor turut mengajukan
persoalan bagi mengetahui, selain perkauman, apa yang sebenarnya telah
Kit Siang atau DAP bantu bagi menjayakan tanah air selama 60 tahun ini.
“Jika DAP
bukan perkauman, masakan setelah 60 tahun, ia terus gagal meyakinkan
orang Melayu untuk mendukung perjuangannya. Jika DAP bukan perkauman,
mengapa ia menjadi cacing kepanasan apabila Perdana Menteri menyelar
Dong Zong sebagai rasis? Jika DAP bukan perkauman, mengapa penyatuan
orang Melayu Islam disamakan dengan gerakan pengganas?
“Setelah 60
tahun, satu-satunya ‘jasa’ DAP adalah memastikan orang Cina hanya
menyokong agenda rasis DAP. Sebab itu, sejak 6 dekad sehinggalah setelah
membentuk kerajaan, tiada Melayu atau India atau Iban atau Kadazan atau
orang Asli yang berbondong-bondong menyertai DAP.
“Sebabnya
mudah. Impian DAP tentang Malaysian Malaysia yang tidak beragama rasmi
itu sangat terpisah dari realiti Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.