Oleh Hazwani Mohd Dah
Perjuangan Dong Zong berjaya kerana mampu kekang kuasa menteri
DURIAN TUNGGAL
– Kewujudan sekolah vernakular yang diperjuangkan golongan ultra kiasu
bukan sahaja menghasilkan murid yang tidak fasih berbahasa kebangsaan,
bahkan pemimpin di peringkat Parlimen juga tidak mampu bertutur bahasa
Melayu dengan baik.
Demikian tegas pendakwah bebas, Prof Dr
Ridhuan Tee Abdullah pada forum Pentas Ummah bertajuk ‘Sekolah
Vernakular: Memecahbelahkan Perpaduan?’ anjuran Ikatan Muslimin Malaysia
(Isma) cawangan Melaka, baru-baru ini.
Beliau kesal dengan sikap menteri yang
sehingga kini masih tidak mengambil tindakan terhadap bahasa pengantara
di sekolah, walaupun Akta Pendidikan 1996 memberi kuasa kepada mereka
untuk menukarnya kepada bahasa Melayu.
“Nanti saya guna bahasa kasar, susah pula
keluarnya. Walaupun Sabah dan Sarawak adalah pribumi di negara ini,
mereka akur menerima sekolah satu aliran dan tidak pernah meminta untuk
didirikan sekolah aliran Dayak,” katanya yang dijemput sebagai panel
pada forum berkenaan.
Kekesalan yang sama turut diluahkan
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee
Hasan terhadap jurang pendidikan di negara ini, yang dilihat di tahap
membimbangkan.
“Perjuangan Dong Zong telah berjaya
kerana mampu mengekang kuasa Menteri Pendidikan untuk menghapuskan
sekolah vernakular apabila Akta Pendidikan 1991 yang memberi kuasa penuh
kepada menteri untuk menghapuskan sekolah ini dipinda kepada Akta
Pendidikan 1996,” kata beliau.
Pada masa sama, beliau turut menyelar
silibus Bahasa Melayu di peringkat sekolah vernakular yang disifatkan
berada di tahap rendah berbanding sekolah kebangsaan, sekali gus
menambah jurang penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid.
Isu sekolah vernakular sering
diperdebatkan dan menjadi serius akhir-akhir ini rentetan sikap ultra
kiasu yang tidak pernah putus asa dalam mempertahankan pendidikan
berasaskan bahasa ibunda mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.