Kerajaan berhak tak penuhi permintaan India kerana bersifat politik
BANGI
– PAS mengingatkan parti tamak haloba, DAP supaya berhenti menekan dan
mendesak pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik untuk
meninggalkan Malaysia.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man membidas kenyataan Lim Kit Siang yang menggesa Zakir keluar
dari Malaysia secara sukarela.
Beliau berkata, tindakan penasihat parti
rasis dan cauvinis itu tidak selari dengan jaminan yang telah diberikan
oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini.
“Oleh itu, apa motif sebenar Lim Kit
Siang? Saya pernah bertanya Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin mengenai isu ekstradisi Dr Zakir pada bulan lalu.
“Menerusi satu jawapan yang dikemukakan
oleh beliau, Dr Zakir masuk dan keluar dari Malaysia melalui saluran sah
yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. Kerajaan juga tidak
memberikan apa-apa layanan istimewa kepada beliau,” katanya dalam satu
kenyataan.
Sebelum ini, Kit Siang melalui tulisan di
blognya berkata, kehadiran Zakir di negara ini boleh mencetuskan
ketidakstabilan, selain menimbulkan ketidakharmonian dalam ‘keluarga’
besar Malaysia.
Malah, pemimpin DAP itu turut menyokong
saranan yang ditulis oleh peguam Anas Zubedy yang mahukan pendakwah
antarabangsa berkenaan keluar dari negara ini secara sukarela.
Sebelum ini, Direktorat Penguatkuasaan
India (ED) dilaporkan dalam usaha mendapat waran tangkap antarabangsa
terhadap Zakir yang kini tinggal di Malaysia.
Beliau dikehendaki pihak berkuasa untuk
menjalani perbicaraan yang sedang berlangsung di Mumbai di bawah Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002 negara itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad menolak permintaan Indian untuk mengekstradisi Zakir
dan tidak akan menghantar pulang pendakwah terkenal berkenaan selagi
beliau tidak menimbulkan masalah di negara ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata,
dakwaan buruk ke atas Zakir Naik masih belum dibuktikan benar, bahkan
nama beliau juga tiada dalam senarai merah Interpol dan Resolusi Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Katanya, kerajaan berhak untuk tidak
memenuhi permintaan ekstradisi India kerana bersifat politik dan
menepati Artikel 6 Perenggan (1)(a) Triti Ekstradisi.
“Malah, kerajaan juga berhak untuk tidak
menyatakan keperluan sebab penolakan ekstradisi demi keadilan orang yang
dikehendaki tersebut. Hal ini menunjukkan apa yang dilakukan oleh
kerajaan adalah tepat.
“PAS berdiri teguh dengan pendirian
kerajaan dan YAB PM dan menyokong penerusan usaha-usaha dakwah Dr Zakir
Naik di negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.