Sikap rasis, dendam ultra kiasu menjadi-jadi bantah tulisan jawi
Malaysia patut maju dengan arus pemodenan bersama warisan Melayu
BANGI – Tulisan jawi perlu
dijadikan tulisan kebangsaan yang mana ia wajib dipelajari semua bangsa
supaya perpaduan dalam negara dapat dicapai.
Demikian saranan Pertubuhan Muafakat
Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) susulan bantahan daripada
beberapa pihak berhubung penambahan seni khat dan tulisan jawi dalam
subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular.
Terdahulu, dua pertubuhan Cina, Gabungan
Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru
Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) serta pemimpin DAP membantah keputusan
Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap penambahan seni khat dan tulisan
jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie
Ching berkata, penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah
dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah
jenis kebangsaan Tamil (SJKT) akan terus digunakan sehingga tahun 2020.
Beliau menjelaskan tulisan jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016.
Mengulas mengenai bantahan kumpulan
pendesak Cina dan pemimpin DAP, Ketua Media Muafakat, Haji Rashidi Haris
berkata, sikap rasis dan dendam puak ultra kiasu semakin menjadi-jadi
terhadap Islam dan Melayu dalam negara ini khususnya ketidakpuasan hati
terhadap Perkara 153.
Justeru, bagi menangani sikap buruk
berkenaan, beliau mencadangkan penggunaan satu bahasa, satu tulisan dan
satu budaya untuk Malaysia seperti negara lain.
“Kita boleh lihat bagaimana Jepun
mengekalkan tulisan Jepun sebagai budaya bangsa yang maju, begitu juga
Korea, hatta China terus degil akan meletakkan tulisan Mandarin dalam
semua produk keluaran mereka.
“Mereka bangga menunjukkan tamadun bangsa
mereka maju seiring dengan kemodenan. Maka Malaysia juga sepatutnya
naik dan maju dengan arus pemodenan bersama tulisan jawi.
“Oleh itu, Muafakat mengesyorkan kepada
Kerajaan Persekutuan, demi mencapai matlamat keseragaman bahasa dan
bangsa. Amat bijak sekali, jika kerajaan menghapuskan semua tulisan lain
dan menjulang hanya satu bahasa dan tulisan bangsa sahaja iaitu jawi,”
kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.