Isnin, 19 Ogos 2019

Anak Syria berebut coklat 20sen insafkan Dai’ Syed


   

Pendakwah muda Dai’ Syed Iqmal berkata pengalaman ke Syria membuka matanya untuk menjadi insan yang bersyukur.

Tambahnya, dia juga berharap agar rakyat Malaysia belajar untuk menghargai hidup di dunia yang aman dan tidak membazirkan makanan.

“Saya bila ke sana (Syria) ada bawa coklat dari Malaysia yang berharga 20sen, anak-anak Syria ini terus berebut.

“Perkara macam ini buat saya insaf dan tersentuh sebab kita kadang-kadang makan pun tidak habis terus buang makanan begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini melalui Whatsapp.

Pemilik nama penuh Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail, 24, turut berasa sedih apabila melihat keadaan kanak-kanak Syria yang daif.

“Sedih hati saya bila tengok budak-budak ini (anak Syria) menjadi anak yatim sebab mereka semua hilang tempat tinggal, mak ayah tiada.

“Bila kita lihat sendiri, baru tahu betapa susahnya hidup anak-anak ini namun mereka masih cekal untuk teruskan hidup,” katanya yang ke Syria bagi menjalankan misi kemanusiaan.
Sementara itu, Syed yang dikenali menerusi program Dai’ Pendakwah Milenia di Astro Oasis sempat berkongsi perjalanannya merentasi negara tersebut bagi menjalani ibadah korban.

“Bila saya sampai di Gazientep (sempadan Turki-Syria), kami dah bermula untuk sembelih 50 ekor kambing dan berikan kepada pelarian Syria.

“Selepas dua hari di Gazientep, terus kami masuk ke Syria untuk misi korban 100 ekor kambing,” katanya yang turut menambah ini merupakan kali pertama dia ke negara itu.

Jelas Syed, dia turut berhadapan dengan beberapa cabaran ketika memasuki negara Syria itu antaranya mendengar das tembakan yang kuat dari pihak rejim.

“Pada hari terakhir kami melakukan ibadah korban, saya terdengar tembakan yang kuat dari pihak rejim.

“Itu agak menakutkan saya kerana bila kita memasuki negara seperti Syria, ia ibarat meletakkan nyawa sebagai taruhan,” katanya.
Selain itu, Syed turut menitipkan pesan buat rakyat Malaysia agar jangan terlalu leka dalam hiburan sehingga lalai akan tanggungjawab kepada Tuhan.

“Khusus kepada semua, dalam masa kita berhibur, jangan terlalu leka sehingga lupa sujud kepada Allah.

“Jika tidak mampu ke Syria, guna wang dan sedekahlah dan jika tidak mampu menerusi duit pula kongsilah ilmu dan perkara baik di media sosial. Semoga apa yang kita kongsikan itu dapat memperolehi pahala,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.