SAYA terbaca satu kenyataan Datuk A. Kadir Jasin yang menyelar tulisan seorang pensyarah UKM Abdul Muein Abadi kerana mengkritik kerajaan DAP dan PH. Malah A. Kadir Jasin meminta supaya UKM dan Kementerian Pendidikan memantau penulisan Abdul Muein yang beliau sifatkan sebagai fitnah.
Tulisan Sdr. Abdul Muein Abadi sebagai
Pensyarah Sains Politik di UKM yang berjudul “400 Hari Pakatan Jual
Lebih RM20 Bilion Aset Negara” adalah sarat dengan fakta dan hujah.
A. Kadir Jasin selaku Penasihat Media
Perdana Menteri tidak selayaknya menjawab dengan nada dan maksud untuk
menghalang seorang ahli akademik melontarkan pandangan dan kritikan
berfakta meskipun terhadap kerajaan.
Sebaliknya pandangan itu hendaklah dinilai dan dikaji setiap penghujahannya demi kebaikan rakyat dan negara.
Kerana saya percaya, gerakan perubahan
yang dilaungkan selama ini, termasuklah oleh PH sendiri adalah bermaksud
untuk mewujudkan satu suasana di mana ahli-ahli akademik khasnya boleh
memberi pandangan berasaskan fakta dan hujah yang baik demi kebaikan
negara.
Kecualilah segala slogan perubahan,
transformasi, reform dan sebagainya itu hanyalah sekadar satu sandiwara
politik untuk mempersenda mentaliti rakyat.
Sikap dan pendekatan yang diambil oleh
A. Kadir Jasin bukan sahaja tidak demokratik tetapi memperlihatkan satu
tindakan yang bersifat patah balik ke belakang. Mundur dan tidak
bertamadun.
Sikap sebegini tidak akan menjadikan kerajaan DAP dan PH hari ini lebih baik dari yang sebelum, malah lebih parah dan punah.
Ekoran dari kenyataan A. Kadir Jasin itu
juga, diakui oleh Sdr Abdul Muein Abadi bahawa terdapat pihak yang
sudah mula memberi tekanan kepada beliau. Tentunya ia bukan satu budaya
yang murni bagi menyuburkan peradaban negara.
Selayaknya kerajaan DAP dan PH
dinasihati oleh orang seperti A. Kadir Jasin supaya segera menjawab
secara tuntas dengan mengemukakan hujah dan fakta balas terhadap tulisan
Sdr. Abdul Muein Abadi.
Demikianlah, jika tulisan Sdr. Abdul
Muein Abadi itu benar, maka kerajaan DAP dan PH mesti mengambil
tanggungjawab yang wajar atau rakyat membetulkan pilihan mereka pada
pilihan raya akan datang dengan membina masa depan negara bersama
kerajaan baharu yang meletakkan Islam dan kebertanggungjawaban tinggi
terhadap rakyat dan negara.
Katakan tidak pada DAP dan PH.
NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit. 118
01 Zulqaedah 1440 | 04 Julai 2019 – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.