Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mempertahankan tindakan pelajar sebuah sekolah antarabangsa yang didakwa menanam rasa kebencian terhadap komoditi utama negara itu.
Pendapat Hannah itu nyata berbeza dengan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang kecewa dengan pertunjukan video dan pertunjukan pelajar sekolah tersebut yang keluar membantah penanaman sawit dan mengaitkannya dengan penebangan hutan dan pokok.
Hannah yang telah menonton video itu berkata, beliau yakin tidak terdapat agenda untuk melemahkan usaha kerajaan mempromosikan minyak sawit.
“Pertunjukan itu meliputi isu yang meluas berkaitan alam sekitar dari perubahan iklim, pemanasan global, tenaga solar, perlindungan laut, penggunaan plastik, usaha kitar semula untuk pemuliharaan Orang Utan dan hutan,” katanya dalam laman Fecebook sambil menambah beliau merupakan Ahli Parlimen Segambut di mana terletaknya sekolah antarabangsa tersebut.
Video berdurasi 24 minit itu dipersembahkan oleh pelajar tahun 3 (berusia antara 7 hingga 8 tahun).
Pada 2 Julai lalu, Teresa menyatakan rasa terkejut dengan penularan video klip kempen anti kelapa sawit melibatkan sebuah sekolah antarabangsa dalam media sosial.
“Saya menyeru sekolah itu menghentikan segera semua tindakan menyemai fikiran benci kelapa sawit, seperti apa yang dilakukan di Eropah terhadap sawit kita,” kata Teresa pada sidang media di lobi Parlimen.
Hannah yang menyifatkan pertunjukan video itu sesuatu yang malang bagaimanapun mengalu-alukan tindakan Teresa untuk mengadakan dialog dengan sekolah dan pelajar terbabit.
Tambah beliau, ia merupakan langkah pendidikaan yang penting iaitu melengkapkan generasi akan datang dengan maklumat dan peluang membuat penilaian.
Sementara itu, Hannah meminta orang ramai tidak berkongsi video itu kerana ia memaparkan wajah pelajar terbabit. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.