Isnin, 1 Julai 2019

10 peratus umat Islam Johor amal fahaman liberalisme

siti hafidah
 
 

Rata-rata pengamal liberal berumur antara 40 dan 50 tahun

ISKANDAR PUTERI – Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu kira-kira 10 peratus umat Islam di negeri ini mengamalkan fahaman liberalisme.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, hasil siasatan pasukan khas menangani fahaman itu yang ditubuhkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal tahun ini mendapati rata-rata mereka berumur antara 40 dan 50 tahun.

Selain itu mereka juga adalah golongan intelektual seperti pensyarah dan jurutera.

“Fahaman liberalisme ini masih terkawal di negeri ini, namun, kerajaan negeri Johor tetap memandang serius perkara itu

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa melaksanakan usaha secara berterusan untuk membendung penularan fahaman ini dengan melakukan risikan dan pemantauan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menjawab soalan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang) dan soalan tambahan Datuk Ir Hasni Mohamad (BN-Benut) berhubung inisiatif Kerajaan Negeri Johor menangani liberalisme, Tosrin berkata, kerajaan negeri mempertingkatkan usaha mempertahankan akidah rakyat dengan mempergiatkan risikan selain pemantauan berterusan terhadap laman sosial seperti Instagram, Facebook, WhatsApp dan Skype.

Beliau berkata, buku-buku berkaitan bahaya liberalisme dan pluralisme agama terhadap akidah turut diterbitkan selain menyebarkan isu berkenaan menerusi khutbah Jumaat.

“Kerjasama dengan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilaksanakan bagi memantapkan risikan manakala JAINJ turut bekerjasama dengan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai ajaran Islam sebenar berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.