PENGUATKUASAAN larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap akan dilakukan bermula 1 Januari tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak akur dengan larangan berkenaan.
“Penguatkuasaan pendidikan akan diteruskan sehingga hujung tahun ini, ia mengambil masa untuk mendidik, hendak mengubah sikap ini bukan sehari dua.
“Saya berikrar pada 1 Januari tahun hadapan kita akan terus menguatkuasakan larangan dan menyaman sekiranya mereka masih tidak mematuhi peraturan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Syawal di Sekolah Agama Rakyat At-Tolibiah, Kampung Changkat Larang, Lahat di Ipoh, hari ini.
Boon Chye berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan perokok yang seakan tidak takut dengan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam terutama selepas Kementerian Kesihatan menangguhkan penguatkuasaan terhadap perkara itu beberapa kali.
Menurutnya, pihaknya melihat perkembangan semasa itu secara positif kerana didapati lebih 80 peratus perokok yang pergi ke restoran memahami ada peraturan dan akur mengenainya.
“Bagaimanapun, kita tahu ada mereka yang masih tidak akur kepada peraturan, cuma saya menyeru untuk kepentingan kesihatan sendiri, penjagaan kesihatan orang yang berada di sekeliling agar mereka mengelak daripada merokok di hadapan orang tidak merokok.
“Kita menghormati hak mereka untuk merokok tetapi kita juga patut menghormati hak mereka yang tidak merokok supaya bebas daripada kesan asap rokok,” katanya.
Boon Chye bagaimanapun menegaskan penguatkuasaan larangan merokok sedia ada di tempat makan yang berhawa dingin, rumah ibadat, pejabat kerajaan, institut pengajian tinggi (IPT) dan juga tempat awam lain diteruskan.
“Memang hasrat kita untuk memperluas kawasan larangan merokok ini untuk meliputi tempat makanan yang tidak berhawa dingin.
“Tujuannya mendidik, sekiranya tidak dapat mengurangkan atau berhenti merokok, sekurang-kurangnya kita berharap mereka akan mengubah sikap supaya tidak merokok di kalangan orang ramai,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan mengumumkan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini.
Tempoh mendidik sebelum menguatkuasa larangan merokok di kedai makan dan restoran sebelum ini ditetapkan berakhir Julai ini selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.