Rabu, 29 Mei 2019

Mengenal kaum zindik: Perosak, penyimpang pemahaman Islam

Hafidz Muftisany

PADA abad pertengahan, pemahaman-pemahaman yang merosakkan Islam mulai tumbuh subur. Islam menyebut orang yang memiliki pemahaman menyimpang daripada ajaran Islam ini dengan istilah ‘zindik’. Dalam bahasa Arab, zindik bererti kotoran yang membahayakan.

Secara istilah, zindik (dalam bentuk jamak: zanadiqah) adalah golongan atau orang yang membuat penyimpangan dalam menafsirkan nas-nas al-Quran dan hadis. Istilah zindik juga dinisbahkan kepada orang yang antiagama, yang kerana penyimpangannya dalam menafsirkan nas-nas agama maka mereka merosak kehidupan agama dan negara.

Sering pula istilah zindik diertikan untuk orang yang pada lahirnya Islam, tetapi pada batinnya kafir.

Istilah zindik pada mulanya berasal daripada bahasa Parsi yang diarabkan di Iraq pada 125H (742 M). Istilah ini muncul ketika terjadi eksekusi terhadap Ja’ad bin Dirham yang dipandang sebagai seorang zindik.

Menurut Muhammad Sabit al-Fandi dalam Darrah al-Ma ‘arif al-Islamiyyah, apabila istilah yang dibawa ke dalam bahasa Arab itu zindy, maka ertinya sama dengan tafsir atau takwil. Dengan demikian, zindik yang dimaksud di sini adalah tafsir atau takwil yang keluar daripada batas-batas yang semestinya.

Ertinya, ada takwil yang tidak dapat diterima menurut prinsip-prinsip ajaran Islam, seperti apa yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.

Imam Hanbali menolak penafsiran kaum zindik kerana mereka menakwilkan ayat-ayat al-Quran dengan penakwilan yang merosak ajaran Islam. Istilah zindik menurut Imam Hanbali sama dengan istilah bid’ah (mengada-ada) atau ilhad (ateis).

Ahli sejarah dari Kaherah, Abu Hasan Ali al-Mas’udi (wafat 345H 956 M), mengatakan, istilah zindik pada mulanya tertuju kepada pengikut-pengikut aliran Mazdak yang membuat penafsiran baharu terhadap kitab suci Avesta (Zendavesta). Mereka menakwilkan sendiri isi kitab itu yang sangat bertentangan dengan maksud yang sebenarnya.

Lebih lanjut, Imam al-Gazali mengatakan bahawa kaum zindik adalah orang yang mengingkari adanya wujud Allah ﷻ. Mereka mengatakan alam semesta kadim (terdahulu) dan mengingkari adanya hari akhirat.

Pakar tasawuf al-Mukri menambahkan, kaum zindik adalah orang-orang naturalis yang mengingkari adanya nabi-nabi serta kitab-kitab yang diwahyukan kepada mereka.

Istilah zindik dalam penggunaannya menunjuk orang yang mengingkari prinsip-prinsip ajaran Islam. Segala macam bid’ah dalam menafsirkan nas-nas agama atau memahami penafsiran ajaran Islam menurut hawa nafsunya sendiri.

Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah ﷺ, “Barang siapa yang memahami atau menafsirkan nas-nas agama dengan kehendaknya sendiri, maka ia termasuk golongan zindik.” (HR Tirmizi).

Ulama mazhab Hanbali mengelompokkan zindik dalam lima kategori.

Pertama, mereka yang disebut al-Mu’attilah. Golongan ini adalah mereka yang mengingkari adanya pencipta dan pengatur alam semesta.

Kedua, golongan al-Manuwiyah, iaitu golongan yang memiliki keyakinan politeisme.

Ketiga, golongan al-Mazdakiyah, iaitu golongan yang memiliki keyakinan sama dengan al-Manuwiyah.

Keempat, golongan al-Abdakiyah, iaitu orang yang hidup hanya dengan beribadah atau diistilahkan dengan zahid. Mereka berasal dari aliran Imamiyah yang berada di Kufah. Mereka ini juga tidak mahu memakan daging haiwan.

Kelima, golongan ar-Rohaniyah, iaitu sufi yang berusaha melepaskan diri daripada ikatan hukum syariat dengan jalan cinta rohaniah kepada Allah ﷻ. 

Mereka menganggap dirinya telah bersatu dengan Allah ﷻ. Kerana itu, mereka ini memandang bahawa tidak ada beza antara Khalik (pencipta) dan makhluk, dan seterusnya makhluk tidak terikat lagi dengan hukum-hukum syariat dan tidak wajib menjalankannya selaku mukalaf.

Ulama mazhab Maliki di Andalusia menetapkan orang yang menghina Rasulullah ﷺ adalah orang zindik, seperti keputusan ulama kepada Abu al-Khair di Cordoba pada masa pemerintahan al-Hakam II dan Ibnu Abi Hatim. Keputusan yang sama juga dilakukan oleh ulama mazhab Hanafi, khususnya pada masa pemerintahan Turki Usmani (Kerajaan Ottoman).

Dalam bidang kalam, kaum Muktazilah pada awalnya dikatakan sebagai golongan zindik kerana ajarannya dipandang bermaksud untuk melepaskan diri daripada kewajiban-kewajiban syariat.

Menurut Imam al-Gazali, mereka tidak percaya atau mengingkari adanya Tuhan, pengatur alam semesta ini. Namun, kemudian tidaklah demikian adanya. Ternyata di antara mereka ada yang menjadi ulama besar, fukaha (ahli fikih), mutakalimin (ahli ilmu kalam), bahkan menjadi kadi besar (hakim agung) seperti kadi Abdul Jabar.

Secara khusus dalam bidang tasawuf, orang sufi tertentu sering dipandang sebagai orang zindik, ajarannya atau ucapannya dianggap mempunyai ajaran agama yang benar.

Kamil Mustafa asy-Syaibi (seorang pakar tasawuf) dan Zunnun al-Misri (ahli fikih dari Mesir) adalah dua orang yang awalnya dikira sebagai zindik. Hal itu disebabkan mereka berbicara mengenai ilmu laduni yang tidak dikenal oleh orang Mesir.

Kedua-duanya didakwa dikenakan hukuman gantung kerana dipandang sebagai seorang zindik yang berbahaya bagi keselamatan agama dan negara. Hal itu sebagai akibat perkataannya yang mengatakan ‘ana Al Haqqu’, iaitu mendakwa dirinya adalah Tuhan.

Kaum Syiah Gulat juga dianggap berpandangan ekstrem dan dipandang termasuk dalam golongan zindik. Alasannya kerana ajaran kelompok ini mengenai ketuhanan yang mengatakan Tuhan menjelma (inkarnasi) ke dalam diri Ali bin Abi Talib RA.

Menilai seseorang apakah termasuk dalam golongan zindik atau bukan dapat dibaca daripada model pemikirannya. Orang beriman akan patuh dan taat jika sudah dihadapkan pada nas-nas daripada al-Quran dan hadis. Sementara orang zindik, mereka mempunyai pemikiran bebas, iaitu yang tidak terikat pada bunyi lahir nas.

Mereka dengan seenaknya menafsirkan nas sesuai kepentingan peribadi atau kelompoknya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.