Khamis, 2 Mei 2019

Kini masanya ikut jejak bapa, kata calon DAP sebak


   
PRK SANDAKAN | Calon DAP Vivian Wong sebak ketika bercakap mengenai betapa bermaknanya mendiang bapanya dan bekas penyandang kerusi Parlimen Stephen Wong kepada dirinya dan Sandakan.

"Beberapa hari yang lalu saya mengunjungi ke setiap rumah dan kawasan perumahan bagi bertemu penduduk Sandakan.

"Banyak keluarga yang memegang tangan saya dan memberitahu saya apa yang telah dilakukan mendiang bapa kepada mereka dan saya cukup terharu.

"Walaupun di luar saya tersenyum, namun di dalam hati saya menangis kerana kami telah kehilangan pemimpin yang hebat di Sandakan.

"Jika saya diberi pilihan, saya lebih selesa melihat sekiranya bapa saya di atas pentas malam ini tetapi kerana beliau bekerja terlalu keras beliau telah meninggalkan kita," katanya pada majlis ceramah di Sandakan malam tadi.

Bukan waktu menangis

Wong, berusia 30 tahun dipilih menjadi calon pilihan raya kecil Parlimen Sandakan selepas bapanya mendiang Stephen meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya ini bukan waktunya dia menangis, sebaliknya inilah masa baginya meyakinkan rakyat yang dia boleh menjadi seperti mendiang bapanya Stephen Wong (gambar) yang berkhidmat kepada orang ramai dengan ikhlas.
Walaupun pihak lawannya mengkritik calon DAP itu kerana kurang pengalaman, dia berkata wakil rakyat yang dipilih memerlukan lebih daripada sekadar pengalaman kerana mereka juga perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Sekiranya kerajaan BN sebelum ini bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada rakyat, maka kata Wong, rakyat tidak akan mengubah kerajaan pada PRU14 lalu.

Menurut Wong lagi, dirinya juga seorang yang tidak sabar dan sering bertanya kepada mendiang bapanya mengenai kritikan terhadap PH selepas hampir setahun berkuasa kerana dia mahukan keadaan di Sandakan diperbaiki secepat mungkin.

Katanya, mendiang bapanya memberitahu rakyat telah memilih PH sebagai kapal mereka yang akan membawa mereka ke haluan masa hadapan.

Bagaimanapun, jelas Wong, bapanya berkata rakyat tidak menjangkakan terdapat banyak halangan sepanjang laluan itu kerana mereka tidak tahu seberapa besar masalah yang ditinggalkan oleh pentadbiran BN terdahulu.

PRK Sandakan menyaksikan pertarungan lima penjuru, yang mana Wong akan menghadapi calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Linda Tsen, yang juga bekas MP Batu Sapi dan tiga lagi calon bebas.

Hari pengundian dijadualkan pada 11 Mei.

Terdapat 39,777 pengundi di Sandakan, dengan 51 peratus pengundi Cina, 26 peratus Bumiputera Sabah, 16 peratus Melayu dan lain-lain sebanyak tujuh peratus lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.