Pembangkang menafikan menggunakan isu kematian Allhayarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai senjata politik mereka.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pihaknya terpanggil untuk mempertahankan anggota bomba terbabit selepas melihat kes tersebut dikendalikan secara meragukan.
Jika pembangkang mahu mempolitikkan isu berkenaan, katanya, mereka boleh berarak dijalan raya.
Namun kata anggota parlimen Kota Bharu itu, pembangkang tidak ada sebab untuk mereka tidak meyakini sistem perundangan negara.
"Cuma apabila sesuatu (pihak) campur tangan dari peguam negara berlaku, baru kita buat kenyataan hari ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Ketua Pembangkang yang juga Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dan Ketua Whip Umno Mahdzir Khalid.
Pada 27 Mei lalu peguam, Syazlin Mansor, menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam inkues kematian Adib.
Untuk rekod Syazlin juga bertindak sebagai peguam kepada keluarga Adib.
Semalam Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad, mendakwa penarikan diri Syazlin dibuat atas arahan Peguam Negara Tommy Thomas melalui sepucuk surat bertarikh 23 Mei.
Kata Takiyuddin pembangkang "menuntut keadilan" atas kematian Adib kerana keluarganya sudah kehilangan anak, selain membela kakitangan kerajaan yang terkorban semasa menjalankan tugas.
Menurut Takiyuddin, tindakan itu dibuat ketika secara kebetulan individu yang terbunuh bernama Adib.
“Kalau yang meninggal itu namanya Maniam, Ah Seng pun kita akan pertahankan macam ini juga, bukan sebab namanya Adib, tapi melihat apa yang dialami oleh si mati ini,” katanya.
Mengapa lepas 5 bulan
“Kita perlu bezakan isu mempolitikkan (sebab) PAS mempersoalkan cara pengendalian inkues saja," katanya.
Sementara itu, PAS dan Umno juga mempertikaikan arahan Thomas supaya Syazlin menarik diri daripada inkues itu.
Takiyuddin berkata, Jabatan Peguam Negara seharusnya mempertikaikan pelantikan Syazlin lebih awal, dan bukannya ketika sesi inkues hampir tamat.
“Kenapa selepas lima bulan (baru) minta Syazlin tarik diri? Sebelum ini peguam yang hendak mewakili kuil Sri Maha Mariamman dibantah tetapi peguam mewakili Syazlin tidak pernah dibantah. Tommy bertindak di luar batasan kuasanya.
“Kita hendak beritahu beliau, jangan kendalikan Jabatan Peguam Negara sebagai firma guamannya sendiri.
"Jabatan itu ada peraturan dan aturannya. Jangan buat perkara yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat pada jabatan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.