Selasa, 2 April 2019

Ular pun nak minum petang...

Mohd Radzi Bujang
 


PELAJAR yang mahu minum petang digemparkan dengan ular sawa sepanjang 3.65 meter yang masuk ke dewan makan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lingga, di Lingga, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim, dalam kejadian pada 4.30 petang itu, ular seberat 13 kilogram itu ditemui tukang masak.

Ketika itu, katanya, sebahagian besar pelajar sedang menunggu untuk menjamah hidangan pada makan petang.

“Kemungkinan ular berkenaan sesat dan bersembunyi dalam longkang berhampiran dewan makan, sebelum cuba menyelinap ke kawasan kejadian.

“Tukang masak berkenaan seterusnya bergegas memaklumkan kelibat ular sawa terbabit kepada seorang pengawal keselamatan dan dia kemudian menghubungi APM, “ katanya.

Siti Huzaimah, berkata tiga anggota sampai ke lokasi kejadian pada jam 5.03 petang dan anggota mengambil masa selama 20 minit bagi menangkap reptilia itu.

“Anggota kita mengambil masa selama 20 minit dengan menangkap haiwan berkenaan menggunakan tangan selepas ular itu cuba meloloskan diri untuk masuk ke dalam lubang longkang kecil di dapur dewan makan,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan pada 5:23 petang dan reptilia berkenaan kini ditempatkan di Bilik Gerakan APM Daerah Sri Aman untuk dijadikan haiwan latihan.

“Kami akan jadikan ular sawa berkenaan bagi melatih anggota di bilik gerakan cara-cara menangani serta menangkap ular,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.