Rabu, 3 April 2019

Dilantik TPM sebelum Aidilfitri, ini jawab Azmin

Sinar Harian
Dilantik TPM sebelum Aidilfitri, ini jawab Azmin
MOHAMED AZMIN: InsyaAllah, kita akan melakukan yang terbaik dalam melunaskan janji kepada rakyat; itu yang kita perlu fokus. - Gambar fail
 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal desas-desus yang bertebaran sejak beberapa bulan lalu bahawa beliau akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menteri Hal Ekonomi itu menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengetahui wujudnya ura-ura sedemikian termasuk kononnya rombakan Kabinet akan berlangsung sebelum Aidilfitri, Jun ini.

“Tidak. Saya tak tahu,” kata Timbalan Presiden PKR itu ketika ditemui media di lobi Parlimen, pada Selasa.

Terdahulu, timbul cuit-cuit politik di laman sosial yang mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan merombak Kabinet dijangkakan sebelum Jun 2019.

Perkara ini, semakin hangat diperkatakan, apabila pada 25 Mac lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa kecewa dengan prestasi kerajaannya.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan PH selepas diberikan mandat oleh rakyat pada 9 Mei tahun lalu.

“Sembilan bulan, kita (PH) telah turun ke bawah untuk bekerjasama dan berbincang dengan pemegang-pemegang amanah.

“InsyaAllah, kita akan melakukan yang terbaik dalam melunaskan janji kepada rakyat. Itu yang kita perlu fokus,” ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.