Sabtu, 27 April 2019

Salahkan bank, Lim tunjuk sikap 'mesra pemaju' - KJ


   
KATA MP | Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ucapannya ketika merasmikan Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia (HOC-MAPEX) hari ini (semalam) menyatakan bahawa pihak kementeriannya Bersama-sama Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana bank yang menolak permohonan pinjaman perumahan tanpa asas-asas yang kukuh.

Kenyataan ini sebenarnya menunjukkan bahawa Menteri Kewangan gagal memahami masalah utama yang menyebabkan sesuatu permohonan pinjaman perumahan ditolak.

Pinjaman perumahan merupakan salah satu perniagaan utama bagi setiap bank komersial. Jarang sekali bank akan menolak mana-mana permohonan pinjaman sekiranya syarat asas pinjaman telah dan dapat dipenuhi oleh pemohon.

Bagaimanapun, sebagai sebuah entiti perniagaan, bank komersial sudah tentu tidak mahu mengambil risiko untuk memberikan pinjaman kepada mana-mana pihak yang dirasakan tidak mampu membuat bayaran balik dan memenuhi komitmen pinjaman yang dibuat.
Persoalan besar tentang pemilikan rumah di negara ini bukanlah kerana kesukaran mendapatkan pinjaman sebaliknya adalah harga rumah yang dijual adalah terlalu mahal dan di luar kemampuan rakyat.

Khazanah Research Institute (KRI) dalam kertas kerja kajian terbaru mereka bertajuk Rethinking Housing: Between State, Market and Society telah menyatakan bahawa tahap kemampuan untuk memiliki rumah terus merosot untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Antara punca berlakunya perkara ini adalah kerana rumah-rumah yang dijual adalah sangat tidak boleh dibeli akibat ketidakmampuan yang serius.

Rumah 'mampu berangan'

Kajian oleh KRI ini juga adalah seiring dengan laporan bertajuk “Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan Penyelesaian” yang dikeluarkan oleh BNM pada tahun lalu yang menjelaskan harga rumah di Malaysia adalah lima kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan serta harga median rumah di Malaysia iaitu RM313,000 adalah lebih mahal berbanding harga maksimum mampu milik iaitu sebanyak RM282,000.

Kenyataan yang dibuat Menteri Kewangan ini dilihat hanya meletakkan kesalahan kepada pihak pemberi pinjaman iaitu bank tetapi pada masa yang sama menafikan realiti bahawa pemaju perumahan gagal memenuhi kehendak serta kemampuan rakyat apabila membina lebih banyak rumah mewah yang mahal berbanding rumah mampu milik.

Sebelum ini juga Menteri Kewangan telah melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang menyaksikan kerajaan memperkenalkan insentif pengecualian duti setem ke atas pembelian rumah yang berharga RM300 ribu sehingga RM2.5 juta.

Walaupun kononnya untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah, kempen HOC ini dilihat hanyalah sebagai talian hayat kepada pihak pemaju untuk menjual unit yang tidak terjual.

Kenyataan terbaru Menteri Kewangan ini sekali lagi melihatkan sikapnya yang sangat ‘mesra pemaju’. Sepatutnya, Menteri Kewangan perlu mengawal tindakan pihak pemaju yang berterusan membina rumah ‘mampu berangan’ atau ‘mampu tengok’, bukannya menjadikan bank sebagai 'scapegoat' untuk dipersalahkan tetapi pada masa yang sama berterusan memberikan talian hayat kepada pihak pemaju ini.


*KHAIRY JAMALUDDIN ialah anggota parlimen Rembau dan bekas menteri belia dan sukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.