Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata, dia bersetuju dengan isu yang menyumbang kepada kemerosotan sokongan terhadap PH, namun tidak bersetuju dengan peratusan yang dinyatakan dalam kajian Merdeka Center.
Menteri kabinet itu merujuk kepada hasil kajian Merdeka Center yang menunujukkan kemerosotan kadar puas hati pengundi terhadap PH.
"Kajian kali ini saya respons dua perkara dari segi isu yang menyumbang kepada menurunnya kurang sokongan, kami terima dengan jujur tetapi saya tidak bersetuju dengan peratusan," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Kajian Merdeka Center menunjukkan keyakinan pengundi terhadap pentadbiran PH dalam mengurus ekonomi setakat bulan lalu jauh merosot berbanding ketika mula mengambil alih kuasa pada Mei 2018.
Badan kaji selidik pendapat awam itu mendapati kadar puas hati terhadap PH dalam soal ekonomi hanya 40 peratus, berbanding 56 peratus pada Mei 2018.
Kadar tidak puas hati dalam soal ekonomi pula meningkat dari 12 peratus ke 52 peratus untuk tempoh sama, menurut kaji selidik itu lagi.
Kadar itu bagaimanapun baik sedikit berbanding keseluruhan penggal pentadbiran BN yang lalu.
Bagaimanapun jika kadar PH terus merosot ia akan meletakkan gabungan itu di tahap yang lebih kurang sama dengan BN.
Tiga isu utama yang dianggap penting oleh 1,204 responden kajian itu ialah inflasi (54 peratus), rasuah (23 peratus) dan soal hak Melayu atau layanan sama rata (23 peratus).
Jika dibandingkan dengan kaji selidik Merdeka Center pada Ogos 2018, peratusan responden yang merasakan inflasi sebagai isu penting meningkat empat peratus, manakala soal hak melayu atau layanan sama rata naik satu peratus.
Bagaimanapun peratusan responden yang melihat rasuah sebagai isu penting turun 10 peratus (iaitu 23 peratus), berbanding 33 peratus pada Ogos 2018. Isu tersebut antara topik tiga tertinggi oleh responden dalam kedua-dua kaji selidik.
Mengulas lanjut, Saifuddin bagaimanapun menyifatkan kajian Merdeka Center itu sebagai peringatan yang baik buat kerajaan PH.
"Bagi saya kajian ini sesuatu yang baik dan merupakan peringatan kepada kerajaan PH supaya tidak tergelincir," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.