Ahad, 28 April 2019

Putrajaya tidak strategik dijadikan hab rel

MALAYSIA GAZETTE
MGF15042019_TUN-M-ECRL01-681x453
Usaha untuk mengubah Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) ke Negeri Sembilan dalam usaha untuk memajukan Putrajaya sebagai hab pengangkutan kereta api dilihat kurang praktikal.

KUALA LUMPUR – Usaha untuk mengubah Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) ke Negeri Sembilan dalam usaha untuk memajukan Putrajaya sebagai hab pengangkutan kereta api dilihat kurang praktikal.

Pakar pengangkutan bandar, Goh Bok Yen berkata, Putrajaya ialah tempat yang kurang strategik sebagai hab pengangkutan rel bagi penumpang mahupun barang.

Beliau berkata, hab pengangkutan biasanya dikategorikan mengikut penumpang atau barang, justeru tidak munasabah menggabungkan dua unsur itu dalam satu hab.

“Hab pengangkutan barang adalah seperti pelabuhan yang mempunyai kemudahan kastam serta kemudahan import eksport.

“Untuk hab pengangkutan penumpang pula, satu contoh yang baik ialah stesen KL Sentral di ibu negara,” katanya sambil menambah bahawa Putrajaya tidak memenuhi syarat sebagai hab pengangkutan barang atau penumpang.

Ujarnya, adalah sukar untuk menjadikan Putrajaya sebagai hab pengangkutan barang kerana bandar itu dilihat sebagai “di luar laluan” termasuk berjauhan dengan pelabuhan.

Bok Yen bagaimanapun tidak menafikan Putrajaya boleh dibangunkan sebagai hab pengangkutan penumpang, walaupun ia bukan tempat yang paling strategik pada masa ini.

“Putrajaya berjauhan dengan pusat bandar di Lembah Klang, jadi ia bukanlah lokasi yang paling berkesan dan strategik.

“Untuk menukar kawasan yang tidak strategik kepada kawasan yang strategik memerlukan masa yang panjang dan kos yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Bok Yen berkata, produk dari utara dan selatan Semenanjung kini diturunkan dan disimpan di stesen Serendah sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.

“Barang diangkut menggunakan rel ke Serendah dan ia hanya dihantar ke Kuala Lumpur pada waktu malam apabila pengangkutan penumpang berhenti atau berkurangan.

“Kalau mahu menjadikan Putrajaya dan Kuala Klawang sebagai hab pengangkutan kereta api untuk barang, isu ini (pengangkutan barang ke Kuala Lumpur) harus diatasi dahulu,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.