SEORANG suami memangku jenazah pembonceng yang juga isterinya selepas terbabit kemalangan di Kilometer 2.3 Jambatan Pulau Pinang, hari ini, mengundang sebak orang ramai yang melalui kawasan itu.
Dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal jam 7.55 pagi itu, mangsa, Junaidah Abdul Rani, 43, yang membonceng bersama suaminya, Abd Samat Azizan, 55, dari arah Seberang Jaya menuju ke tempat kerja mereka di Georgetown.
Abd Samat yang bertugas di Unit Data dan Rekod Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat tenang sambil memangku jenazah isterinya yang berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian berlaku apabila skuter SYM VTS 200 dinaiki mereka bergesel dengan dua motosikal cuba memotong dari belakang.
Menurutnya, sebelum kejadian, sebuah motosikal dikatakan berhenti di lorong kecemasan jambatan namun tiba-tiba memasuki semula laluan motosikal.
Nik Ros Azhan berkata, keadaan itu menyebabkan semua penunggang termasuk Abd Samat memperlahankan motosikal masing-masing di laluan itu.
“Namun, dua motosikal masing-masing jenis Honda RS150R dan Yamaha Y15LC ditunggang Mohd Hanif Othman, 28, dan Nur Syafiqah Rohani, 24, yang datang dari belakang cuba memotong motosikal dinaiki mangsa tetapi gagal.
“Sebaliknya mereka bergesel dengan skuter dinaiki pasangan suami isteri itu menyebabkan Junaidah tercampak ke jalan raya,” katanya.
Menurutnya, Junaidah parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami dan dua lagi penunggang cedera ringan.
Nik Ros Azhan berkata, keadaan di atas jambatan sesak susulan kejadian dan semua mangsa yang cedera termasuk jenazah mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.