PUCHONG: Menjadi kelaziman apabila menjelang Ramadan maka akan meriahlah dengan barisan artis yang mencari rezeki tambahan dengan berniaga di bazar-bazar Ramadan.
Bagitulah juga bagi Ramadan kali ini yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Beberapa artis popular tanah air bakal berkampung selama sebulan sepanjang Ramadan ini di Karnival Ramadan Putrajaya bermula 1 Mei ini.
Seperti biasa kebanyakkan mereka akan membuka meja untuk menjual produk keluaran mereka di tapak-tapak yang sudah ditempah.
Antara yang sudah mengesahkan tempat termasuklah Ella, XPDC, Siti Sarah, Shuib, Azharina, Alif, Tasha Shila dan ramai lagi.
Menurut penganjur bersama Abdul Ajib Mohd Zein berkata pelbagai acara menarik turut diatur bagi pengunjung bazar Ramadan di Karnival berkenaan.
“Tahun ini ramai artis terkenal yang turut sama berniaga di tapak bazar ini di Putrajaya memandangkan lokasi ini adalah antara yang paling ramai mendapat sambutan setiap kali bulan puasa.
"Malah tahun ini lebih meriah kerana ada dikalangan artis-artis ini akan turut menghiburkan pengunjung dengan mengadakan busking dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Jelasnya ia bukanlah mencari keuntungan semata-mata, malah hasil jualan mereka nanti turut akan disalurkan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“Artis-artis yang berniaga nanti juga akan terlibat dengan program-program amal di mana hasil jualan mereka turut akan disalurkan kepada beberapa madrasah dan anak-anak yatim yang kita kenal pasti di sekitar Putrajaya.
"Kita juga akan mengadakan Festival Islamik terbesar dalam Putrajaya di mana akan ada program infa’ di mana kita akan agihkan bubur lambuk kepada anak-anak yatim dan juga kepada pengujung," katanya.
Agihan duit raya kepada anak yatim juga akan turut diadakan di penghujung Karnival itu nanti.
Sementara itu bagi anggota XPDC, mereka turut mengambil peluang ini untuk mendekati peminat selain mengadakan persembahan busking dan berniaga tetapi dalam masa yang sama turut membantu kepada mereka yang memerlukan.
“Kita bukan sahaja berniaga di tapak itu nanti tetapi ada bahagian hasil jualan yang kita mampu hulurkan kepada orang yang kurang bernasib baik untuk menyambut kehadiran Syawal.
"Ini adalah salah satu cara kami untuk turut sama membantu dan ia bukanlah keuntungan semata-mata,” kata pemain bass XPDC Zuar ketika ditemui.
Karnival ini akan berlangsung sehingga 5 Jun ini di tapak festival di Dataran Putrajaya, Persint 3 Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.