Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal hari ini menafikan
wakil rakyat yang dipilih menjadi barisan Anggota Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Johor (EXCO) baru-baru ini adalah ‘pasukan’ Muhyiddin
Yassin.
“Sebetulnya, untuk kita membela rakyat, tiada team pun. Cuma pasukan exco yang ada di keliling saya ini, 10 Exco yang ada ini merupakan satu pasukan yang saya selesa bekerja dengan mereka.
“Tujuan (mereka dilantik) untuk kita untuk menjaga rakyat Johor inilah, jadi tiadalah tim A, tim B ni,” kata beliau dalam satu temubual khas di pejabatnya di Kota Iskandar, di Iskandar Puteri hari ini.
Dr Sahruddin berkata dengan ada pasukan baru ini, dan dengan kerjasama dengan semua penjawat awam di negeri ini, antara lain adalah untuk memastikan bangsa Johor iaitu rakyat negeri ini mengecapi keadaan yang aman serta ekonomi yang baik, sekali gus menjadikan taraf hidup mereka lebih baik.
“Inilah team
saya, untuk membela nasib rakyat. Sepuluh Exco itulah team saya, untuk
membela rakyat,” kata Dr Sahruddin, yang juga Anggota Dewan Undangan
Negeri (Adun) Bukit Kepong itu.
Persoalan campur tangan istana
Dr Sahruddin, yang dilantik menjadi menteri besar Johor ke-17 pada 14 April lalu, mengumumkan barisan exco Johor yang baru dua hari lepas (Isnin), menyaksikan dua exco lama digugurkan manakala tiga exco baru dilantik.
Beliau menggantikan Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada 8 April lepas.
Ketika ditanya mengenai
bagaimana dirinya akan berperanan dalam menyeimbangkan hubungan antara
kerajaan persekutuan dan Istana terutama dalam menangani beberapa isu
berkaitan, Dr Sahruddin berkata beliau berharap hubungan baik yang
terjalin diharap dapat mengharmonikan hubungan kedua-duanya.
Dr Sahruddin menambah, di atas keprihatinan Sultan Ibrahim, hubungan erat antara istana dan rakyat terjalin.
“Sebetulnya perlu ada semak dan imbang. Keseimbangan antara kerajaan persekutuan dan pihak istana.
“Insya-Allah, segala isu saya akan cuba selesaikan dengan baik,” kata beliau.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.