Khamis, 25 April 2019

Ketika AG di kandang tertuduh atas tuduhan menghina pada 1998

MALAYSIAKINI

   
Di sebalik kebimbangan dan rasa tidak puas hati pengamal undang-undang -  Mahkamah Persekutuan semalam menjatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM40,000 terhadap peguam Arun Kasi - selepas mendapatinya bersalah. Permohonannya untuk menangguhkan hukuman itu juga ditolak.

Dalam penghakimannya, Hakim Ramly Ali, yang mengetuai panel lima anggota, juga menyebutkan tentang keengganan Arun untuk memohon maaf berhubung kenyataannya.

Peguam Negara Tommy Thomas yang memulakan proses penghinaan atas alasan bahawa artikel dalam talian Arun menghina badan kehakiman.

Ironinya, lebih dua dekad lalu, Thomas berada di kedudukan Arun.

Pada tahun 1998, Hakim Mahkamah Tinggi RK Nathan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas Thomas kerana menghina mahkamah.

Ini berhubung kenyataan Thomas mengenai penyelesaian tuntutan fitnah yang difailkan terhadapnya dan firma undang-undang Skrine & Co oleh taikun perniagaan Vincent Tan, syarikat-syarikatnya dan peguamnya VK Lingam.

Saman fitnah itu adalah berhubung artikel di majalah yang berpangkalan di London, International Commercial Litigation di mana Thomas didakwa berkata bahawa pihak plaintif dan peguam tertentu menikmati layanan istimewa yang tidak wajar di mahkamah.

Artikel itu juga mempersoalkan kebebasan badan kehakiman, terutamanya dalam membabitkan kes-kes perniagaan yang berpengaruh.

Dalam penghakimannya, Nathan mendapati kenyataan Thomas menghina mahkamah.

Walaupun Thomas menarik balik kenyataannya itu, menyatakan penyesalannya dan meminta maaf kepada mahkamah, Nathan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadapnya.

Pada tahun 2001, Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman penjara itu dengan denda RM10,000, dengan salah satu daripada tiga hakim memberikan pendapat yang berbeza.

Mahkamah juga membenarkan penangguhan hukuman penjara kepada Thomas sementara menunggu rayuannya didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim yang memberi pandangan yang berbeza adalah Gopal Sri Ram, yang berpendapat bahwa rayuan berkenaan harus diizinkan, kerana hukuman bersalah yang dijatuhkan ke atas Thomas akan "menghancurkan kebebasan pemikiran dan ucapan."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.